Tuesday, September 4, 2012

Pensyarah Universiti Teknologi Malaysia sertai DAP

Profesor Dr. Mohamad Tajuddin Rasdi Universiti Teknologi Malaysia
Profesor Dr. Mohamad Tajuddin Rasdi, pensyarah Pusat Kajian Alam Bina Dunia Melayu (KALAM) Universiti Teknologi Malaysia dan isterinya, Norhayati Yusof hari ini mengumumkan memilih untuk menyertai Parti Tindakan Demokratik (DAP), membuktikan bahawa DAP benar-benar bukan sebuah ‘parti Cina’. Demikian menurut laporan akhbar Sinar Harian hari ini.

“Sebagai seorang ahli akademik, saya mahu perkara ini diperbetulkan dan saya mahu menjadi ‘jambatan’ antara orang Melayu dan bukan Melayu seterusnya mengajak bersama menyertai DAP,” katanya dalam sidang akhbar selepas Majlis Perasmian Bilik Gerakan DAP, DUN Stulang.

Turut hadir dalam majlis tersebut ialah Pengerusi DAP Johor yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Skudai, Dr Boo Cheng Hau; Setiausaha Publisiti DAP Tony Pua; dan Ahli Parlimen Bukit Bendera, Liew Chin Tong.

“Saya tidak terlalu minat bidang politik dan orang parti. Cuma saya agak kurang senang terhadap serangan segelintir pihak kepada rakan-rakan bukan Melayu khususnya dalam DAP bahawa mereka anti-Melayu dan anti-Islam,” ujar beliau.

Norhayati yang merupakan seorang bekas guru pula berkata, penyertaan beliau ke dalam DAP mengikut suaminya adalah sesuatu yang baru dalam hidup.

“Sebab saya masuk DAP adalah kerana saya mahu memberitahu kepada rakyat bahawa DAP bukanlah parti untuk bangsa Cina dan India sahaja, sebaliknya untuk semua,” katanya kepada akhbar itu.

“Ini kerana kebanyakan masyarakat mempunyai persepsi DAP adalah untuk bukan Melayu sahaja. Oleh itu, menerusi penyertaan ini, saya mahu rakyat Malaysia buka hati dan minda untuk menerima DAP,” katanya.