Saturday, September 15, 2012

Perutusan Hari Malaysia: WAN AZIZAH WAN ISMAIL


Selamat Hari Malaysia
Perutusan Hari Malaysia
16 September 1963, merupakan satu detik bermulanya sejarah baru di tanah air kita. Hari ini sekali lagi kita tekad bersama memperingati sejarah penubuhan Persekutuan Malaysia yang menyatukan Tanah Melayu, Sabah dan Sarawak. Antara hasrat penyatuan itu adalah agar rakyat Sabah dan Sarawak lebih merasa kebersamaan sebagai sebahagian daripada rakyat Malaysia; mengecapi kepesatan ekonomi dan pembangunan negara dengan rakyat di Semenanjung Tanah Melayu. Apatah lagi bumi Sabah dan Sarawak dikurniakan Tuhan dengan hasil mahsul melimpah seperti minyak dan balak berbillion ringgit nilainya. 

Sejurus kebangkitan rakyat pada Mac 2008 yang lalu, kita telah bersuara dengan berani bahawa hari yang bersejarah ini mesti ditetapkan sebagai hari cuti umum untuk seluruh rakyat Malaysia. Namun apa yang sebenar kita harapkan  ialah bukan cuti semata-mata tetapi agar setiap rakyat negara ini tidak ada yang tertinggal dari arus pembangunan walau seterpencil mana sekalipun.  Justeru itu, semangat Hari Malaysia harus diselami sedalamnya dan menjadi tanggungjawab kita mendidik generasi muda untuk memaknai sejarah dengan fakta dan maklumat yang benar. Kita tidak mahu generasi baru ini terkeliru dengan fakta sejarah yang akhirnya sambutan Hari Malaysia berlalu hambar.  
KEADILAN melihat 16 September ini adalah satu sumber kekuatan bangsa Malaysia. Dari Perlis hinggalah ke Sabah kita satukan dengan berpaksikan kalimah Sebangsa Senegara Sejiwa. Kekuatan penyatuan ini harus dirasai oleh setiap golongan masyarakat di seluruh pelusuk dan penjuru tanah air.  Kita juga menggalakkan generasi muda meneroka dan mengkaji sejarah agar mereka kenal siapa dan bagaimana negara kita ini ditadbir dan siapa pula pewarisnya. Kejayaan sebenar Hari Malaysia hanya akan tercapai apabila rakyat bangsanya berani bangun melawan budaya penyelewangan kuasa, rasuah serta penindasan warga bangsa. 

Ayuh bangsa Malaysia !!! Kita sematkan di dalam jiwa yang merdeka ini.

Senegara,Sebangsa,Sejiwa. Selamat Hari Malaysia. 


DATO SERI DR WAN AZIZAH WAN ISMAIL
Presiden
Parti Keadilan Rakyat 

---
Dihantarkan kepada anda melalui :

BIRO KOMUNIKASI
PARTI KEADILAN RAKYAT
A-1-09, Merchant Square
No. 1, Jalan Tropicana Selatan 1
47410 Petaling Jaya