Thursday, September 20, 2012

Singapura minta Google sekat akses kepada filem anti-Islam


S'pura minta Google sekat akses kepada filem anti-Islam
PEMERINTAH telah meminta Google menyekat akses kepada sebuah filem antiIslam di laman YouTube di Singapura bagi mencegah insiden ganas di sini.
Dalam pada itu, Kementerian Ehwal Dalam Negeri (MHA) menggesa orang ramai supaya tidak menyebarkan video itu atau menambah komen yang boleh mengapi-apikan lagi keadaan.
MHA dalam satu kenyataan semalam berkata ia telah meminta MDA mengemuka permintaan kepada Google, yang memiliki YouTube, agar mengambil langkah menyekat akses kepada filem pendek berjudul Innocence of Muslims itu.
Jurucakap MDA semalam mengesahkan Google sedang menimbangkan permintaan Singapura itu.

Menurutnya, MHA telah memaklumkannya klip video itu mengandungi bahan yang bercanggah dengan kepentingan awam dan menghasut kebencian agama, lantas melanggar undang-undang Singapura.
"Kami telah mengarahkan Google supaya menyekat akses kepada video itu di Singapura," ujar beliau.
MHA menarik perhatian bahawa filem itu telah mencetus bantahan dan rusuhan ganas mengakibatkan kematian serta kecederaan di banyak tempat di dunia, termasuk di beberapa negara rantau ini.
Penyebaran berterusan filem itu, yang dibuat di Amerika Syarikat, mungkin menjejas keharmonian dan menimbulkan rasa kurang senang di kalangan pelbagai kaum di Singapura.
MHA menegaskan sebarang perbuatan yang mencetus ketidakharmonian atau perasaan permusuhan, kebencian atau kurang senang di kalangan pelbagai kaum atau agama ialah satu kesalahan di bawah Kanun Keseksaan.
Filem yang dianggap mempersenda Islam dan Nabi Muhammad saw itu mencetus kemarahan masyarakat Islam di beberapa negara selepas sedutannya disiar melalui Internet.
Sementara itu, Persatuan Ulama dan Guru-Guru Agama Islam Singapura (Pergas) dalam satu kenyataan semalam menyifatkan penerbitan filem tersebut sebagai susuatu yang "biadab" yang dilakukan oleh beberapa kelompok kecil berfahaman ultra ekstrem dan tegar di Amerika.
Bantahan di luar kedutaan Amerika di beberapa negara telah mengakibatkan beberapa kematian, termasuk duta Amerika ke Libya.
Ekoran aduan-aduan, Google telah menyekat akses kepada video itu di Mesir, India, Indonesia, Libya dan Malaysia.
Pemerintah Singapura telah mengutuk keras serangan ke atas Konsulat Amerika di Libya dan mengecam video anti-Islam itu.
Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Ehwal Dalam Negeri, Encik Teo Chee Hean, telah menyatakan bahawa kebebasan bersuara tidak memberi sesiapa pun hak mutlak menghina dan memburukkan agama dan bangsa lain.
Sebaliknya, kebebasan itu harus dipelihara menerusi rasa saling hormat pandangan dan kepercayaan orang lain, kata beliau. 
Wasiat Nabi Muhammad saw, di Arafah pada 9 Zulhijah,10 Hijriah. Pada tahun ke 10 Hijrah ketika mengerjakan Hujjatul Wada', Rasulullah SAW telah menyampaikan khutbahnya yang terakhir (Khutbah Wida') di Padang ...