Sunday, September 9, 2012

Sultan Johor batal projek Laguna Mersing


 Sultan batal projek Laguna Mersing
MERSING - Sultan Johor, Sultan Ibrahim Ismail Ibni Almarhum Sultan Iskandar semalam menitahkan bahawa projek pusat peranginan mega Laguna Mersing yang bernilai RM22 bilion telah terbatal dengan sendirinya berikutan kegagalan pihak pemaju memenuhi syarat asas perjanjian.
Dalam titahnya, baginda menegaskan, projek terbabit terbatal selepas pihak pemaju induk, Radiant Starfish Development Bhd. gagal meningkatkan modal berbayar sebanyak RM200 juta dalam masa enam bulan.
Syarat itu terkandung dalam perjanjian antara syarikat terbabit dengan Kerajaan Negeri Johor pada 25 Februari lalu.

"Namun sehingga hari ini, setelah tamat tempoh enam bulan, pihak pemaju masih gagal untuk memenuhi syarat asas tersebut. Ekoran kegagalan tersebut, maka projek ini dengan sendirinya adalah terbatal," titah baginda pada majlis Ulang Tahun Rejimen Gerak Khas Ke-47 di Kem Iskandar Mersing di sini semalam.
Majlis pecah tanah projek Laguna Mersing itu yang berlangsung pada 14 April lalu dirasmikan sendiri oleh baginda.
Serentak dengan itu juga, Sultan Johor menasihatkan kerajaan agar sentiasa berhati-hati apabila menerima cadangan pembangunan dan menilainya dengan teliti agar pemaju yang benar-benar komited dan berkemampuan sahaja diberi kelulusan melaksanakan projek.
"Sekiranya ada mana-mana pihak yang cuba menangguk di air keruh dengan mencari jalan mudah untuk mengaut keuntungan, maka pergilah ke tempat lain kerana tiada tempat untuk orang seperti ini di negeri Johor," titahnya.
Laguna Mersing yang dijadual siap pada tahun 2019 meliputi kawasan seluas 809 hektar yang dipecahkan kepada 22 lot dan dijual kepada pemaju dari luar negara untuk dibangunkan dengan hotel atau taman tema.