Friday, October 19, 2012

Anak Clinton minat jawatan presiden


Chelsea Clinton, anak perempuan mantan Presiden Amerika Syarikat, Encik Bill Clinton Hillary Clinton
MAHU IKUT JEJAK AYAH IBU: Cik Chelsea bersama bapanya, Encik Bill Clinton, dan ibunya, Cik Hillary, yang mengangkat sumpah sebagai Setiausaha Negara Amerika pada Februari 2009. - APF
ABUJA (NIGERIA): Cik Chelsea Clinton, anak perempuan mantan Presiden Amerika Syarikat, Encik Bill Clinton, dan Setiausaha Negara, Cik Hillary Clinton, tidak menolak kemungkinan akan ikut jejak ibu bapanya bertanding jawatan Rumah Putih.
Cik Chelsea, 32 tahun, berkata demikian dalam satu wawancara televisyen dengan BBC semalam.
Bercakap dari Abuja di Nigeria, Cik Chelsea yang ditanya sama ada akan mencuba nasib mengetuai Rumah Putih berkata:
"Saya merasai panggilan yang kuat terhadap (jawatan) perkhidmatan awam.
"Terdapat banyak cara berkhidmat... kehidupan ibu saya merupakan satu bukti untuk itu," kata anak tunggal pasangan Encik Clinton dan Cik Hillary itu.
Cik Hillary pernah cuba mendapatkan tiket bertanding kerusi Presiden Amerika pada 2008 tetapi tewas.

Beliau kemudian dilantik sebagai Setiausaha Negara oleh Presiden Barack Obama.
Encik Clinton menyandang jawatan Presiden Amerika dari 1993 hingga 2001.
Beliau digantikan oleh Encik George W. Bush.
"Sebelum kempen ibu saya pada 2008 (bagi menjadi calon Presiden Parti Demokrat), saya mungkin akan katakan tidak - bukan kerana saya telah berfikir panjang mengenai isu ini tetapi kerana ramai orang telah bertanyakan saya soalan yang sama," kata Cik Chelsea.
Cik Chelsea berada di sini dalam rangka lawatannya bagi membantu yayasan yang ditubuhkan oleh bapanya melancarkan inisiatif mengurangkan kadar kematian di kalangan kanak-kanak dan ibu mereka ekoran cirit-birit dan lain-lain penyakit yang boleh dicegah.
Dalam wawancara itu, Cik Chelsea turut melahirkan keyakinan bahawa ibunya, Cik Hillary layak menjadi Presiden Amerika satu hari nanti.
"Saya mahu beliau lakukan apa yang beliau inginkan. Saya bangga dengan ibu saya, dengan apa yang beliau lakukan," katanya lagi.
Nama Clinton dilihat cukup masyhur dalam arena politik Amerika.
Sebelum ini, arena politik Amerika pernah dikaitkan dengan nama dinasti Kennedy susulan mendiang Presiden John F. Kennedy.
Menjelang pemilihan presiden negara itu bulan depan, Encik Obama mendapat sokongan penuh daripada Encik Clinton yang mengkritik keras dasar ekonomi wakil Republikan, Encik Mitt Romney.
Encik Clinton menyifatkan dasar yang dibawa oleh Encik Obama jauh lebih baik dan telah meletakkan negara di atas dasar ekonomi moden yang seimbang. - Agensi.