Saturday, October 6, 2012

Budak 12 tahun lebih baik daripada Einstein dan Hawking


Olivia Manning Mensa
GADIS PINTAR: Olivia Manning diterima menganggotai Mensa, sebuah pertubuhan komuniti IQ tinggi paling tua dan terbesar di dunia, selepas mencatatkan pencapaian 162 mata dalam ujian IQ yang dijalaninya.
LONDON: Seorang gadis Britain berusia 12 tahun diterima menganggotai kumpulan Mensa, atau pertubuhan golongan manusia yang mempunyai IQ tinggi yang paling tua dan terbesar di dunia, selepas dia didapati lebih bijak daripada Albert Einstein dan Profesor Stephen Hawking.
Olivia Manning, yang berasal dari Liverpool, memperolehi 162 mata dalam ujian IQ, iaitu di atas purata 100 mata.
Pencapaian yang diperolehinya itu bukan sahaja dua mata lebih tinggi daripada Einstein, seorang ahli fizik Jerman, atau Profesor Hawking, seorang pakar dalam bidang matematik dan fizik, malah meletakkannya dalam kalangan 1 peratus manusia paling bijak di dunia.

Dia kini diberi penghormatan menganggotai Mensa, yang membolehkannya menyertai rangkaian orang-orang pintar di seluruh dunia.
Selepas disahkan sebagai genius, Manning menjadi selebriti di sekolahnya, North Liverpool Academy, di Everton.
"Kini semakin ramai orang datang menemui saya untuk meminta bantuan menyelesaikan kerja sekolah mereka.
"Saya sememangnya sukakan cabaran yang boleh membuatkan otak saya terus berfikir," katanya.
Manning, yang tinggal di Norris Green, mengaku mempunyai cara untuk cepat memahami atau mengingati sesuatu maklumat baru. Bagaimanapun, dia turut terkejut dengan keputusan ujian IQ yang dijalaninya itu. - Agensi.