Wednesday, October 3, 2012

Debat calon presiden Amerika Syarikat malam ini


LAS VEGAS (Nevada): Presiden Barack Obama Parti Republikan Mitt Romney di Denver, Colorado,
LAS VEGAS (Nevada): Presiden Amerika Syarikat, Barack Obama, dan pesaingnya daripada Parti Republikan, Mitt Romney, akan bertikam lidah malam ini di Denver, Colorado, dalam debat yang bakal disaksikan berjuta penonton.
Ia acara debat presiden pertama daripada tiga yang telah ditetapkan bagi calon pilihan raya presiden 2012.
Debat yang akan disiarkan di televisyen itu peluang terbaik terakhir bagi Romney menyegarkan semula kempennya yang semakin lemah, dan melambangkan situasi berpotensi mendatangkan bahaya tidak terlihat kepada Obama.
Barack Obama sedang cuba mempertahan kelebihan kecil beliau dalam usaha memenangi penggal kedua di Rumah Putih dalam pilihan raya yang akan berlangsung pada 6 November.
Siri debat itu menjadi sebahagian kempen pilihan raya presiden sejak Richard Nixon kalah kepada John F. Kennedy pada 1960.

Ia memberi peluang kepada pengundi menilai keduadua lelaki yang bakal memimpin Amerika sedang mereka berdiri bersebelahan.
Pesaing seperti Romney mesti meyakinkan pengundi dahulu bahawa beliau mempunyai daya intelek dan pembawaan yang diperlukan seorang presiden, selain personaliti yang tidak akan menjengkelkan selama empat tahun beliau bertugas di Rumah Putih.
Mereka yang sedang memegang jawatan presiden mempunyai kelebihan, tetapi, seperti yang diketahui mantan presiden seperti Gerald Ford dan George H.W. Bush, satu kesilapan dapat merosakkan teruk kempen mereka.
Romney berkata beliau sedia berdebat dengan Presiden Obama dalam ketiga-tiga acara debat itu, yang bermula hari ini.
"Saya menantikan acara perdebatan ini... Ia akan menjadi tajuk perbincangan rakyat Amerika yang akan menjangkau hampir sebulan," kata beliau kepada sekumpulan 5,000 penonton di muzium udara dan angkasa Denver malam kelmarin.
Romney tiba di Denver dua jam sebelum itu dan akan tinggal di wilayah itu bagi menjalani persiapan debat akhir yang rapi.
Sementara itu, Presiden Obama kelmarin berehat seketika daripada persiapan debatnya untuk menjadi pengirim piza kepada kakitangan kempennya di Nevada.
Barack Obama memeluk sukarelawan yang berada di pejabat kempen pemilihan semula beliau di wilayah barat Amerika itu dan menghubungi sukarelawan lain menerusi telefon.
"Persaingan sengit di Nevada. Sengit di seluruh negara. Kita akan lakukannya. Kita akan menang," kata Obama kepada penyokongnya, yang gembira melihat beliau berkunjung sambil membawa piza.
"Ini kempen terakhir saya jadi kita mahu tunjukkan segala-galanya dan bekerja sekeras yang kita mampu," tambah beliau. - AFP.
  • MATLAMAT
Obama:
- Cipta sejuta pekerjaan dalam sektor perkilangan menjelang 2016 dengan menggalak, melalui langkah-langkah fiskal, syarikat memindahkan semula operasi pengeluaran ke Amerika.
- Gandakan eksport bagi menyokong pekerjaan.
- Kurangkan import tenaga hingga setengah menjelang 2020 melalui penggunaan 'Tenaga hijau' dan pembangunan gas asli.
Romney:
- Cipta 12 juta pekerjaan dengan menggalak pertumbuhan melalui kadar cukai lebih rendah, pembatalan kawal selia, pasaran terbuka dan penerokaan minyak dan gas Amerika.
Obama:
- Kurangkan defisit belanjawan Amerika sebanyak AS$4 trilion ($4.92 trilion) dalam masa 10 tahun, termasuk AS$2 trilion yang telah diumum.
Romney:
- Bawa perbelanjaan federal ke paras bawah 20 peratus daripada Hasil Dalam Negeri Kasar (GDP), daripada 24.4 peratus tahun ini.
- Pastikan kenaikan cukai mendapat undian majoriti layak Kongres.
- Hapuskan pelepasan cukai tidak ditetapkan.
- Gantikan setiap pekerja awam yang berhenti dengan seorang pekerja baru bagi mengurangkan jumlah pekerja pemerintah sebanyak 10 peratus.
- Selaraskan gaji sektor awam dengan sektor swasta.
  • CUKAI
Obama:
- Naikkan had gaji bagi dua lingkungan cukai tertinggi kepada AS$208,250. Kadar cukai akhir akan sepadan dengan kadar cukai sebelum mantan presiden George W. Bush memerintah (36 peratus dan 39.6 peratus).
- Naikkan cukai pendapatan modal daripada 15 kepada 20 peratus.
- Turunkan kadar cukai syarikat daripada 35 peratus kepada 28 peratus dan bagi sesetengah industri kepada 25 peratus.
- Kenakan 'Buffet Rule', kadar cukai minimum 30 peratus kepada individu yang menjana pendapatan AS$1 juta setahun.
Romney:
- Kekalkan potongan 20 peratus cukai pendapatan marginal bagi semua. Ini bermakna kadar cukai turun daripada 10 kepada 8 peratus bagi yang berada dalam lingkungan cukai paling rendah, dan 35 kepada 28 peratus bagi yang berpendapatan lebih AS$388,350 setahun.
- Kurangkan cukai pendapatan korporat daripada 35 kepada 25 peratus.
- Hapuskan cukai bagi pembayar cukai yang pendapatan kasar daripada faedah, dividen dan laba modal di bawah AS$200,000.
Obama:
- Labur dalam pendidikan profesional dan program latihan, dengan matlamat menjadi pemimpin dunia dari segi peratusan penduduk yang menjadi siswazah menjelang 2020.
- Latihan dan rekrut 100,000 guru Sains.
- Lancar projek prasarana utama.
Romney:
- Susun semula program latihan federal dan adakan akaun latihan individu.
- Naikkan had jumlah visa bagi pekerja asing berkemahiran tinggi.
Sumber: AFP