Monday, October 1, 2012

Innocence of Muslims: 5,000 berhimpun aman di depan kedutaan AS di Jakarta


 Innocence of Muslims. Go to hell America
TIADA KEGANASAN: Penunjuk perasaan antara lain membawa sepanduk yang menolak Amerika dan kebebasan bersuara semasa bantahan menentang filem anti-Islam, Innocence of Muslims, di Jakarta semalam. Bantahan itu berjalan secara aman. - Foto: AP
JAKARTA: Beribu rakyat Indonesia semalam melaungkan slogan anti-Amerika Syarikat di luar kedutaan negara itu di Jakarta, dalam bantahan terbaru menentang filem anti-Islam, Innocence of Muslims.
Filem yang dibuat di Amerika itu telah mencetuskan bantahan dan tunjuk perasaan di sekurang-kurangnya 20 negara.
Menurut jurucakap polis, Kolonel Rikwanto, sekurang-kurangnya 5,000 penunjuk perasaan menyertai perarakan bagi membantah filem itu di Jakarta semalam.
Mereka berarak ke Kedutaan Amerika, yang dikawal beribu anggota polis, dan mengadakan bantahan sangat bising tetapi pada keseluruhannya aman.

Tiada keganasan tercetus, tidak seperti dalam bantahan awal bulan lalu apabila penunjuk perasaan bertempur dengan polis.
Peserta bantahan anjuran parti Islam, Parti Keadilan Sejahtera (PKS), itu melaungkan slogan anti-Amerika selain ucapan 'Allahu akbar'.
Ramai daripada mereka memakai jubah putih dan membawa sepanduk tertera 'Go to hell with your freedom of expression, Muslims unite against insults to Islam' (Pergi jahanam dengan kebebasan bersuara kamu, Muslim bersatu menentang penghinaan terhadap Islam).
Lelaki, wanita dan kanak-kanak berkumpul di luar bangunan kedutaan itu. Selain pegawai polis, empat penyembur air disediakan di situ.
Seorang penceramah memberitahu penunjuk perasaan bahawa jelas sekarang musuh sebenar Muslim ialah Amerika.
Kata-katanya itu disambut dengan laungan 'Amerika dan Israel adalah pengganas'.
Lebih 30 orang telah terbunuh dalam keganasan yang menyusul penyebaran filem Innocence of Muslims itu. - AP, AFP.