Monday, October 15, 2012

Laporan Ketua Audit Negara: RapidKL catat kerugian berjumlah RM293.82 juta


RapidKL
KUALA LUMPUR 15 Oktober: Rangkaian Pengangkutan Integrasi Deras Sdn Bhd (RapidKL) mencatat kerugian terkumpul sehingga 31 Disember 2010 berjumlah RM293.82 juta, demikian menurut Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) 2011.
“Prestasi kewangan RapidKL kurang memuaskan di mana syarikat mengalami kerugian pada 2008 dan 2010, walaupun mencatat keuntungan pada 2009.
“Bilangan bas sedia guna bagi empat model iaitu Dong Feng 120, Iveco, Dong Feng 75 dan King Long Suzhou hanya mencapai kurang 50 peratus daripada keseluruhan bas sebenar,” jelas laporan itu.
LKAN 2011 turut menegur kelemahan pengurusan dokumen kewangan serta kawalan dalaman sistem kutipan RapidKL yang kurang memuaskan, manakala peratusan bas boleh beroperasi tidak mencapai 100 peratus.

RapidKL ditubuhkan pada 26 Julai 2004 dengan modal berbayar RM300 juta. Pada Jun 2009, Syarikat Prasarana Negara Berhad (SPNB) mengambil alih RapidKL daripada Menteri Kewangan Incorporated dengan pegangan ekuiti 100 peratus.
RapidKL juga adalah pengendali sistem tren transit aliran Ampang dan Kelana Jaya serta pengangkutan bas di Kuala Lumpur dan sebahagian di Lembah Klang.