Tuesday, October 2, 2012

Lim Kit Siang: Kenapa Najib takut bubar parlimen?


ketua Parlimen DAP Lim Kit Siang
Kenyataan Perdana Menteri Najib Razak bahawa Pakatan Rakyat bukanlah alternatif kepada Barisan Nasional disifatkan ketua Parlimen DAP Lim Kit Siang sebagai kenyataan yang angkuh kerana takut pada kelemahan sendiri.

Dalam ucapannya pada Persidangan Perwakilan Nasional ke-44 Parti Gerakan semalam, Najib turut membuat kenyataan bahawa ‘Buku Jingga Pakatan lebih rendah nilainya daripada kertas yang digunakan’.
Menempelak kenyataan lemah Najib itu, Kit Siang berkata, jika Pakatan Rakyat bukanlah alternatif yang boleh dipercayai maka mengapa beliau terus menangguh daripada mengumumkan Pilihan Raya Umum ke-13?

“Najib telah mencipta rekod terburuk apabila menjadi Perdana Menteri tanpa mandat pilihan rayanya paling lama berbanding Tunku Abdul Rahman, bapa beliau Tun Razak, Tun Hussein Onn, Tun Mahathir dan Tun Abdullah.” katanya.

“Apakah naluri untuk terus bertakhta menguasai beliau menyebabkan beliau terus terseksa untuk membuat keputusan bilakah waktu terbaik untuk mengadakan Pilihan Raya Umum ke-13?

Mengulas tindakan Najib memperlekehkan Buku Jingga, Kit Siang berkata, “Jika Buku Jingga Pakatan lebih rendah nilainya daripada kertas yang digunakan, mengapa Najib sentiasa mengelak daripada berdebat dengan Datuk Seri Anwar Ibrahim kerana itu akan memberikannya peluang untuk menggugat Anwar dan ide Buku Jingga.

“Kata-kata Najib tidak boleh dipercayai melainkan beliau bersedia untuk berdebat dengan Anwar dalam masa dua minggu dan serta-merta membubarkan Parlimen mengumumkan Pilihan Raya ke-13.

Perdana Menteri tersebut dan sebilangan besar menteri kabinet juga tidak berada di Dewan Rakyat pagi ini bagi sessi perbahasan Belanjawan 2013 yang baru dibentangkannya Jumaat lalu, mengukuhkan lagi dakwaan ketakutan beliau untuk berdebat secara terbuka.