Tuesday, October 30, 2012

Pesawat Israel lancar serangan ke atas tapak roket Palestin


undi BN sokong yahudi
BAITULMAKDIS: Pesawat Israel menembak tapak pelancaran roket Palestin dan sebuah tapak kegiatan tentera yang tidak dapat dikenal pasti di Jaluran Gaza awal semalam sebagai tindak balas kepada serangan roket dan meriam dari wilayah pantai itu, kata pihak tentera Israel.
"Sebagai respons kepada serangan roket bertalu-talu ke arah selatan Israel, pesawat IAF (Pasukan Bersenjata Israel) menyasarkan tapak pelancaran roket dan tapak kegiatan pengganasan di utara Jaluran Gaza selain tapak kegiatan pengganasan di selatan Jaluran Gaza," jelas satu kenyataan tentera Israel.
Mengikut kiraan tentera Israel, awal sebelum pihaknya menyerang balas, kumpulan militan di Gaza melancarkan 11 roket dan meriam ke arah selatan Israel.
Pihak militan Gaza pula mengatakan 11 roket yang dilancarkan itu adalah sebagai tindak balas kepada dua serangan udara pada waktu lewat malam oleh tentera Israel.

Tiada korban jiwa dilaporkan sejauh ini oleh kedua-dua pihak.
Keganasan yang berlaku itu mengakhiri perdamaian sementara selama beberapa hari setelah gencatan senjata dilaksanakan.
Gencatan senjata yang diusahakan Mesir dan berkuat kuasa sejak Khamis lalu bertujuan mengakhiri pertumpahan darah selama 72 jam yang menyebabkan lapan militan terbunuh dan pasukan bersenjata Palestin melancarkan lebih 100 roket ke arah Israel yang mencederakan dua mangsa.
Lewat semalam, pesawat tentera Israel menjatuhkan risalah di Gaza yang memberi amaran kepada warga Palestin supaya menjauhi pagar sempadan dengan Israel atau menghadapi risiko ditembak.
Risalah itu turut memberi amaran kepada orang awam supaya tidak memberi kerjasama kepada pihak militan, mengorek terowong untuk tujuan menyeludup atau membawa masuk senjata.
Di Gaza, risalah-risalah itu diambil oleh polis Palestin bersama anggota Hamas yang mentadbir wilayah tersebut. - AP, AFP.