Monday, October 15, 2012

Umno tandus pemimpin muda

Timbalan Presiden PKR, Azmin Ali
Umno didakwa sudah ketandusan pemimpin yang boleh meyakinkan rakyat untuk menyokong parti itu sehingga terpaksa ‘kitar semula’ pengaruh bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Timbalan Presiden PKR, Azmin Ali berkata, sebagai seorang Presiden Umno dan juga Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak sepatutnya melahirkan pemimpin muda yang mampu membawa perubahan kepada negara.

Menurutnya, ini kerana masa depan negara bergantung kepada pimpinan generasi muda berasaskan prinsip serta nilai murni dan bukannya ditentukan generasi Mahathir.


“Kenapa Najib gagal menonjolkan pimpinan baru dalam kalangan Umno untuk turun berkempen bagi pihak Umno? Ini membuktikan bahawa perkhidmatan Mahathir diperlukan untuk menyelamatkan Umno.

“Saya mengalu-alukan peranan  Mahathir untuk lebih aktif dalam kempen Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) akan datang,” katanya ketika ditemui selepas perasmian Mesyuarat Agung Tahunan Cabang Kota Raja kali Ke-5 di Dewan Majlis Perbandaran Klang (MPK) Taman Sentosa, Klang.  

Hadir sama, Ketua PKR Cabang Kota Raja, Dr Xavier Jayakumar; Timbalan Ketua Cabang Kota Raja, Shuhaimi Shafiei dan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kota Raja, Dr Siti Mariah Mahmud.

Sementara itu Azmin dalam ucapannya, turut menasihati penyokong Pakatan Rakyat (PR) supaya bangkit memfokuskan kerangka besar dan menolak cerita remeh dalam menentukan hala tuju menawan Putrajaya nanti.

“PKR sudah membuktikan kita bukan parti nyamuk malah kini semakin kuat bersama Pas dan DAP, malah turut digeruni Barisan Nasional (BN) yang ada bertanyakan Kabinet bayangan kita.

“Jika mereka tidak gentar kenapa mereka berminat untuk mengetahui Kabinet bayangan kita? Bermacam-macam spekulasi yang timbul tetapi apa yang penting bagi saya bukan soal jawatan tetapi mahu ‘kuburkan’ Umno,” katanya.

Beliau mengakui, mempertahankan kemenangan adalah lebih sukar daripada mengejarnya tetapi yakin sudah hampir dengan kemenangan melihat kepada sokongan yang semakin kuat terhadap PR termasuk di Sabah dan Sarawak.