Wednesday, November 21, 2012

Anwar gesa Menteri Luar ke Gaza nyatakan sokongan


Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim
Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim menyeru Menteri Luar, Datuk Seri Anifah Aman mewakili Malaysia untuk ke semenanjung Gaza bagi menyatakan sokongan kepada rakyat Palestin.
Beliau berkata demikian ketika membahaskan usul mengutuk kekejaman Israel ke atas Palestin berhubung serangan terbaru regim itu terhadap Semenanjung Gaza.
“Ada perkembangan positif akhir-akhir ini iaitu ketegasan Liga Arab serta negara demokrasi baru, terutama Tunisia, Mesir dan Turki yang ambil langkah cukup berani (membantah serangan).
“Malah saya difahamkan beberapa menteri, termasuk Perdana Menteri Mesir, Hesham Qandil telah ke Gaza dan ambil risiko di tengah-tengah pembedilan berterusan regim Israel.

“(Justeru) dalam menyokong usul ini, saya gesa khususnya Menteri Luar agar dapat ke sana, kalau tidak di Gaza di negeri sekitarnya untuk nyatakan sokongan pada inisiatif Liga Arab, Tunisia, Turki dan Mesir,” katanya lagi.
Memetik laman berita Al-Jazeera, Liga Arab dalam satu kenyataan berikrar menyokong Palestin dan akan menamatkan sekatan ke atas Semenanjung Gaza.
17 November lalu, Menteri Luar Tunisia, Rafik Abdessalem melawat Gaza, sehari selepas Hesham Qandil ke sana untuk menyatakan sokongan.
Menurut agensi berita AFP, jumlah kematian penduduk Gaza kini mencecah 109 orang selepas Israel melancarkan 1,350 serangan.
Sehingga kini, kerajaan Malaysia masih belum mengeluarkan sebarang kenyataan untuk menghantar bantuan ke wilayah bergolak tersebut.

Umno, MCA & MIC curi tanah