Tuesday, November 6, 2012

DAPSY Pulau Pinang tuntut Ahmad Abdul Jalil dibebas


Ahmad Abdul Jalil
GEORGE TOWN, 6 NOVEMBER: Pemuda DAP Pulau Pinang menuntut supaya Ahmad Abdul Jalil, yang ditahan kerana didakwa menghina Sultan Johor di laman sosial Facebook dibebaskan segera.

Setiausaha Publisiti DAPSY Pulau Pinang, Steven Sim dalam kenyataan medianya kesal dengan tindakan polis yang mengendalikan kes Ahmad Abdul Jalil, seorang juruukur bahan berusia 27 tahun.

“Pihak polis perlu tegas melaksanakan tugas mereka menjaga keamanan awam berlandaskan undang-undang serta perikemanusian walaupun terhadap mereka yang bersalah,” kata Steven terhadap tindakan polis terhadap seorang pemuda yang tidak disabitkan kesalahan malahan dibebaskan Mahkamah Majistret.

Beliau menganggap pihak polis gagal melaksanakan tugas mereka secara profesional dan melanggar Kanun Acara Jenayah kerana gagal menjelaskan kesalahan apa menyebabkan Ahmad ditahan.

Beliau juga mengecam tindakan pihak polis yang menurutnya tidak mematuhi hak asasi manusia dan Perlembagaan Persekutuan kerana terus menafikan hak Ahmad untuk berkomunikasi dengan peguam beliau sehingga kini.

“Daripada cara pengendalian kes dianggap tidak profesional dan gagal mematuhi kerangka undang-undang sedia-ada, DAPSY Pulau Pinang tidak menafikan mungkin wujudnya unsur aniaya terhadap Ahmad Abdul Jalil oleh pihak tertentu,” ujar Steven yang juga Pegawai Eksekutif Penang Institute.

“Kami menuntut supaya Ahmad Abdul Jalil dibebaskan serta merta dan Menteri Dalam Negeri memberi penjelasan sepenuhnya kepada orang awam terhadap isu ini,” katanya.

Ahmad Abdul Jalil ditahan polis lewat malam Jumaat lalu atas tuduhan menghina Sultan Johor di laman sosial, Facebook dan dihadapkan ke Mahkamah Majistret Johor Bahru untuk mendapat perintah reman. Selepas dibebaskan majistret, beliau ditangkap semula atas pertuduhan baru di bawah Akta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia. – Roketkini