Sunday, November 25, 2012

Dua maut dalam pertembungan 140 kenderaan


BEAUMONT (Texas) Dua maut dalam pertembungan 140 kenderaan
KEMALANGAN MUSIM CUTI: Beberapa kereta dan lori kelihatan saling bertindih di antara satu sama lain dalam kemalangan teruk di lebuh raya Texas, kelmarin. - Foto AP

BEAUMONT (Texas): Dua orang terbunuh manakala lebih 80 yang lain cedera apabila sekurang-kurangnya 140 kenderaan bertembung di lebuh raya Texas menyusuli kabus tebal, kelmarin.
Kejadian turut mengakibatkan kenderaan berat seperti trak dalam keadaan bertindih antara satu sama lain.
"Ia adalah satu bencana buruk. Kelihatan kereta bertindih di atas kereta lain," kata Timbalan Syerif Pejabat Daerah Jefferson, Encik Rod Carroll, di sini.
Beliau berkata antara 80 dengan 90 mangsa telah dikejarkan ke hospital dengan lebih 10 daripada mereka dalam keadaan serius.
Menurut beliau, kemalangan yang berlaku sempena cuti sambutan Hari Kesyukuran di Amerika Syarikat itu melibatkan antara 140 dengan 150 kenderaan.
Ia terjadi di 128 kilometer, timur Houston.

Encik Carroll berkata ketika kemalangan, keadaan kabus terlalu tebal sehinggakan para pegawai polis yang tiba di tempat kejadian tidak sedar kemalangan itu melibatkan begitu banyak kenderaan.
Menurut polis, dua mangsa yang terkorban merupakan penumpang kenderaan SUV yang terhempit akibat dilanggar sebuah treler.
Laluan lebuh raya itu hanya dapat dibuka semula selepas lebih lapan jam.
Encik Carroll berkata para pemandu yang tidak cedera antara mereka yang cuba membantu orang-orang lain yang cedera.
"Orang ramai saling bantumembantu antara satu sama lain. Apa yang paling menggalakkan semasa musim perayaan ini ialah bagaimana para pemandu lain membantu kami ketika kami kekurangan kakitangan.
"Mereka sama-sama duduk dan membantu mengenakan tekanan ke atas luka para pemandu yang cedera," kata Encik Carroll. - AP.