Wednesday, November 28, 2012

Mayat Arafat digali bagi siasatan dakwaan mati diracun


Mayat Arafat digali bagi siasatan dakwaan mati diracun
SIASAT KEMATIAN: Para wartawan televisyen bersedia merakamkan prosedur menggali mayat Allahyarham Yasser Arafat walaupun sekitar kawasan makam bekas pemimpin Palestin itu mula ditutup dengan plastik biru di Ramallah, Tebing Barat, Sabtu lalu. Prosedur menggali mayat Allahyarham akan dilakukan hari ini. - Foto AFP

RAMALLAH (Wilayah Palestin): Salah satu misteri politik terbesar di rantau Timur Tengah semakin hampir diselesaikan hari ini apabila para saintis menggali mayat pemimpin ikonik Palestin, Encik Yasser Arafat, bagi melihat jika beliau telah diracun.
"Ia sangat menyakitkan. Ia satu kejutan dan bukan mudah bagi saya dan anak perempuan saya," kata balu Encik Arafat, Cik Suha Arafat, kepada agensi berita AFP melalui telefon dari rumahnya di Malta, sebelum prosedur menggali mayat suaminya dilakukan.
"Tetapi kita harus lakukannya bagi bergerak ke hadapan berhubung rahsia yang menyelubungi kematiannya. Jika ada jenayah yang berlaku, ia harus diselesaikan," katanya.

Para hakim warga Perancis yang bertanggungjawab atas siasatan itu telah tiba di bandar Tebing Barat, Ramallah, petang kelmarin.
Makam Allahyarham Arafat berada di pekarangan kompleks Muqataa, Ramallah, tempat Allahyarham pernah menjalankan tugasnya sebagai pemimpin dan tempat Presiden Palestin, Encik Mahmud Abbas, menempatkan ibu pejabatnya.
Khabar angin dan spekulasi menyelubungi kematian Allahyarham Arafat sejak kesihatannya yang begitu cepat menjadi teruk membawa kepada kematiannya di hospital tentera Percy dekat Paris pada November 2004, ketika beliau berusia 75 tahun.
Para doktor Perancis tidak dapat menjelaskan apa yang menyebabkan kematian presiden Palestin yang pertama dipilih secara demokratik itu dan atas permintaan balunya, bedah siasat tidak pernah dilakukan.
Tetapi ramai warga Palestin percaya beliau diracun Israel.
Teori itu semakin mendapat perhatian pada Julai lalu apabila rangkaian berita Al-Jazeera melaporkan dapatan pihak Switzerland yang menemui jumlah bahan radioaktif, polonium, yang luar biasa pada barang-barang peribadi Encik Arafat.
Pada lewat Ogos lalu, Perancis telah memulakan siasatan rasmi atas permintaan Cik Suha.
Jurucakap Perdana Menteri Israel, Encik Bennjamin Netanyahu, Encik Mark Regev, menepis siasatan itu sebagai dibuat tanpa alasan yang kukuh dan menolak dakwaan bahawa Israel terlibat dengan kematian Encik Arafat. - AFP.