Thursday, November 22, 2012

Rafizi serah bukti baru kes rasuah RM40 juta. Nazri Aziz menikus. Musa, mana mau lari?


rafizi ramli musa aman nazri aziz kerajaan rakyat
HONG KONG 22 November: Satu laporan baru dikemukakan kepada jawatankuasa semakan Suruhanjaya Bebas Menentang Rasuah Hong Kong (ICAC) pagi ini untuk mendesak kes rasuah RM40 juta melibatkan Ketua Menteri Sabah, Musa Aman, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM), Nazri Aziz dan jutawan balak, Michael Chia dibuka semula.
Perkara itu dimaklumkan Pengarah Strategi KEADILAN, Rafizi Ramli dalam twitternya pagi tadi.
Menurutnya, beliau bersama rombongan yang disertai beberapa wakil rakyat Malaysia itu akan membekalkan maklumat baru berhubung skandal tersebut.
“Pagi ini, saya bersama Leong Jee Keen, Hee Loy Sian, Chang Lih Kang akan buat laporan baru dan beri maklumat baru kepada ICAC agar kes RM40 juta disiasat semula,” katanya.
“Ahli-ahli Majlis Perundangan Hong Kong akan desak ICAC siasat rasuah RM40 juta,” jelas beliau.
“Saya juga menyambut baik kenyataan Ketua Pendakwaraya Hong Kong bahawa beliau sudi untuk membuka semula kes ini jika ada bukti baru.

“KEADILAN akan menumpukan sepenuh perhatian untuk mengumpulkan bukti-bukti baru ini agar satu siasatan dapat dimulakan segera oleh ICAC,” katanya lagi dalam kenyataan dari Hong Kong.
Rafizi bersama rombongan berlepas ke negara itu semalam untuk memulakan proses permohonan membuka siasatan kes itu.
Mengikut Rafizi, beberapa perkara dapat disahkan berdasarkan laporan wawancara Free Malaysia Today kelmarin bersama Ketua Pendakwaraya Hong Kong, Kevin Zervos mengenai siasatan kes rasuah RM40 juta itu.
Antaranya, pihak berkuasa Malaysia sama ada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Peguam Negara atau kedua-duanya sekali yang memaklumkan kepada ICAC bahawa wang RM40 juta adalah sumbangan politik kepada Umno.
 Ketua Menteri Sabah, Musa Aman, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM), Nazri Aziz dan jutawan balak, Michael Chia Katanya, ternyata RM40 juta memang dibekukan di dalam sebuah akaun Michael Chia (walaupun namanya tidak disebut) dan disyaki pihak berkuasa Hong Kong disimpan bagi pihak Musa Aman (walaupun namanya tidak disebut).
“Keterangan Kevin Zervos itu mengesahkan Nazri Aziz tidak berterus terang di Dewan Rakyat baru-baru ini apabila beliau memaklumkan bahawa keputusan ICAC menghentikan siasatan adalah oleh kerana ICAC mendapati wang RM40 juta tersebut adalah sumbangan kepada Umno.
“Datuk Seri Nazri Aziz sekali-kali tidak pernah menyatakan kepada Dewan Rakyat bahawa ICAC terpaksa menghentikan siasatan kerana dimaklumkan oleh pihak berkuasa Malaysia bahawa wang RM40 juta itu adalah sumbangan politik.
“Apabila pihak berkuasa Malaysia yang memaklumkan perkara tersebut kepada ICAC, ia mengesahkan desas-desus selama ini bahawa ICAC terpaksa menghentikan siasatan kerana tidak mendapat kerjasama sepenuhnya dari pihak berkuasa Malaysia.
“Malah, kenyataan Kevin Zervos itu adalah lebih berat, kerana ia membayangkan bahawa pihak berkuasa Malaysia (sama ada SPRM, Peguam Negara atau kedua-duanya sekali) bersekongkol untuk menghentikan siasatan terhadap Datuk Seri Musa Aman dan Michael Chia dengan memberikan maklumat yang tidak tepat mengenai wang RM40 juta itu, tanpa siasatan yang telus dan bebas,” jelas Rafizi.
Beliau juga yakin pihak berkuasa Malaysia tidak pun menyerahkan bukti-bukti dan hasil siasatan yang menyokong kesimpulannya bahawa RM40 juta itu adalah sumbangan politik yang berpunca dari hasil yang sah di sisi undang-undang.
Sebelum ini, Chia yang rapat dengan Musa ditahan di Hong Kong berikutan disyaki terlibat dalam penggubahan wang haram RM40 juta.
Taikun balak itu menyatakan wang berkenaan milik Musa tetapi pemimpin Umno terutama Nazri mendakwa ia adalah dana untuk Umno Sabah.
KEADILAN kemudian mendedahkan Chia menaja kenderaan mewah, Hummer kepada anak Nazri yang bermati-mati mempertahankan Chia.