Thursday, November 1, 2012

Sandy ribut paling dahsyat hentam AS. 43 mati, 8.2 juta terputus bekalan tenaga


Sandy ribut paling dahsyat hentam AS
SISTEM PENGANGKUTAN LUMPUH: Stesen bawah tanah kereta api South Ferry di New York turut dimasuki air akibat Ribut Sandy. - Foto AP

NEW YORK: Kesengsaraan yang dibawa Ribut Sandy terus menimpa jutaan penduduk di timur Amerika Syarikat, apabila bekalan tenaga terputus menyebabkan sistem pengangkutan dan pergerakan orang ramai lumpuh selama beberapa hari lagi.
Angka korban kini meningkat kepada sekurang-kurangnya 43 orang, dengan kebanyakan mangsa terbunuh disebabkan dihempap pokok tumbang.
Jumlah itu djangka terus meningkat berikutan beberapa individu dilaporkan masih hilang.
Ribut yang membadai New Jersey petang kelmarin menyebabkan bekalan elektrik kepada lebih 8.2 juta penduduk terpaksa dihentikan.
Banda raya New York adalah antara yang paling teruk terjejas apabila kota kewangan terbesar dunia itu ditutup bagi hari kedua semalam.
Ribut dan hujan lebat itu membawa kerosakan ke atas sistem pengangkutan bawah tanah di New York yang berusia 108 tahun itu.

Datuk Bandar New York, Encik Michael Bloomberg, berkata ia mungkin mengambil masa empat atau lima hari lagi bagi sistem transit terbesar Amerika itu pulih.
"Ia adalah ribut pemusnah paling dahsyat, mungkin paling buruk yang pernah saya lalui," katanya.
Kerosakan sebenar di New Jersey sedang dinilai dengan pasukan kecemasan berlegar-legar mencari dan menyelamatkan ratusan mangsa.
Setakat ini, lebih 15,000 penerbangan dibatal dengan tiga lapangan terbang utama di New York masih ditutup.
Beberapa jambatan ke bandar raya itu dibuka semula tetapi kebanyakan terowong utama masih ditutup.
Sementara itu, tiga reaktor tenaga nuklear Amerika masih ditutup semalam dan reaktor keempat kini diletakkan dalam keadaan berjaga-jaga selepas Ribut Sandy mengancam sistem penyejukan reaktor.
Menyedari air yang melimpah boleh menyebabkan reaktor itu tenggelam, seperti yang terjadi di Fukushima, Jepun, tahun lalu, pihak berkuasa tempatan pula berkata reaktor itu dijangka tidak mendatangkan risiko ke atas orang awam.
Beberapa bandar di kawasan pantai timur seperti Washington, Philadelphia dan Boston kini terlepas daripada mengalami kesan paling buruk akibat Ribut Sandy dan dijangka kembali normal semalam.
Sebelum ini, Ribut Sandy sudah membunuh sekurang- kurangnya 67 orang apabila ia membadai kepulauan di Caribbean beberapa hari lalu. - AP, AFP, Reuters.
Angkara Sandy
Berikut adalah perkembangan Ribut Sandy yang telah melanda pantai timur Amerika Syarikat, khususnya di New York:
  • 50 rumah musnah terbakar di kawasan Queens, di bandar New York, berpunca daripada renjatan elektrik;
  • Tujuh terowong kereta api bawah tanah di New York dibanjiri air - kejadian terburuk dalam sejarah 108 tahun perkhidmatan tersebut; ESekurang-kurangnya 45 orang dilaporkan terbunuh di enam negeri;
  • Ribut Sandy mengekalkan kelajuan angin pada tahap 130 kilometer sejam sepanjang ia melanda New York - menenggelamkan bahagian rendah Manhattan dan memutuskan bekalan elektrik di sebahagian besar bandar tersebut;
  • Air laut melimpah sehingga ke Sungai Hudson;
  • Hospital New York University terpaksa memindahkan pesakit ke hospital lain selepas ia terputus bekalan elektrik, termasuk bekalan bantuan dan sokongan;
  • Virginia Barat, Maryland dan Carolina Utara dilanda salji lebat selepas Ribut Sandy bertembung dengan angin sejuk dari Canada;
  • Beberapa bandar besar di pantai timur Amerika seperti Boston, New York, Philadelphia, Baltimore dan Washington dijangka lumpuh selepas Ribut Sandy menjejas pengangkutan dan kemudahan awam;
  • Replika kapal perang HMS Bounty sebagaimana yang digunakan dalam sebuah filem Hollywood lakonan Mel Gibson karam dihempas Ribut Sandy di Carolina Utara;
  • Laporan media massa Amerika menganggarkan sekurang-kurangnya 8.2 juta isi rumah keputusan bekalan elektrik sejak Isnin;
  • Kawasan pantai di Maryland, Delaware, Massachussetts dan Long Island, New York, hampir kesemuanya ditenggelami air;
  • Pasaran Saham New York dan Nasdaq, pasaran kewangan terbesar dunia, buat pertama kalinya sejak Taufan Gloria pada 1985 menghentikan urus niaga bagi membolehkan laporan terkini mengenai Ribut Sandy disiarkan;
  • Presiden Barack Obama memendekkan kempen pilihan raya di Florida dan segera kembali ke Washington bagi menguruskan bantuan segera kepada mangsa;
  • Seorang lagi calon presiden dari Parti Republikan, Encik Mitt Romney, turut membatalkan kempennya pada Isnin dan Selasa lalu;
  • Beribu penerbangan domestik dan antarabangsa terpaksa dibatalkan;
  • Kos kerugian daripada Ribut Sandy dianggarkan bakal mencecah AS$20 bilion ($24 bilion).