Monday, November 12, 2012

Wan Azizah: Keluarga kami sudah lali difitnah


Presiden KEADILAN, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail
Presiden KEADILAN, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berkata, beliau sudah lali dengan tuduhan dan serangan yang dilakukan terhadap keluarga, terutama suami, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan terbaru, ke atas anaknya.
Ini kerana katanya, serangan tersebut tidak berhenti, sejak dari dulu hingga sekarang dan hanya berserah kepada Allah S.W.T supaya diberi kekuatan.
“Pelbagai tuduhan dibuat ke atas kami terutamanya ke atas Anwar. Kami sudah lali dengan tuduhan dan serangan-serangan begini.
“Kami cuma boleh minta bantuan Allah dan minta kami boleh atasinya,” kata Wan Azizah dipetik Sinar Harian.
Anak sulungnya, Nurul Izzah Anwar menjadi mangsa serangan terbaru Umno BN apabila difitnah berhubung kenyataan beliau pada sebuah forum awal bulan ini.
Utusan Malaysia pada muka depannya minggu lalu memanipulasi kenyataan Ahli Parlimen Lembah Pantai itu dalam forum ‘Negara Islam: Versi Mana; Siapa Bertanggungjawab’.

Semalam, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Hussein mendakwa, kenyataan Izzah tentang kebebasan beragama disifatkan beliau sebagai mempolitikkan akidah dan menjadikan agama sebagai gadaian.
Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad pula menyifatkan kenyataan Naib Presiden KEADILAN itu melampau.
Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dalam kenyataannya sebelum ini berkata, sebarang laporan perlu diteliti dan diperjelas 100 peratus sebelum menyatakan pandangan, apatah lagi ia dilapor Utusan.
Pandangan Hadi disokong Pengerusi Sekretariat Himpunan Ulama Rantau Asia (Shura), Abdul Ghani Shamsudin yang menjelaskan, semakin dekat pilihan raya ini, tahap kesiuman media Umno semakin rendah.
Senada dalam isu ini, juara program realiti Imam Muda musim pertama, Muhammad Asyraf Ridzuan berkata, ada pihak sengaja memperbesarkan isu murtad dan kebebasan beragama supaya nampak teruk dan dijadikan topik hangat sebagai platform untuk menyerang Pakatan Rakyat.