Sunday, December 9, 2012

10,000 rakyat Melaka sertai Himpunan Kebangkitan Rakyat


Himpunan Kebangkitan Rakyat
MELAKA 9 DIS: Kira-kira 10,000 orang membanjiri perkarangan Pejabat DAP Melaka pada program Himpunan Kebangkitan Rakyat peringkat negeri Melaka malam tadi.
Ia bukan sahaja rekod, malah memperlihat semangat perubahan pada rakyat Melaka kerana jarang mereka hadir ke program Pakatan Rakyat dalam jumlah besar.
Biarpun himpunan malam Umno BN menganjur program karnival di tapak asal program iaitu di Kampung Bukit Palah, namun kehadiran orang ramai ke program Pakatan tidak terjejas.
Orang ramai berpusu-pusu memenuhi perkarangan pejabat DAP Melaka dan ada yang terpaksa berdiri di bahu jalan dan pembahagi jalan.

Mengikut Harakah Daily, program bermula jam 4 petang dengan konvoi motosikal dan kereta yang mendapat sambutan luar dugaan.
Antara pimpinan tertinggi Pakatan yang hadir ialah Timbalan Presiden KEADILAN, Mohamed Azmin Ali; Timbalan Presiden PAS, Muhammad Sabu dan Timbalan Pengerusi DAP, Dr Tan Seng Giaw.