Saturday, December 15, 2012

14,700 penjawat awam selalu ponteng kerja


14,700 penjawat awam selalu ponteng kerja
KANGAR – Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) mendedahkan kira-kira 14,700 penjawat awam muda yang berusia 30 tahun ke bawah kerap mengambil cuti sakit walaupun mereka sebenarnya sihat.
Presidennya, Datuk Omar Osman berkata, pihaknya memandang serius gejala tersebut walaupun jumlah itu membabitkan sekitar tiga peratus daripada jumlah keseluruhan kakitangan awam iaitu seramai 1.4 juta orang.
Malaysia kini mempunyai kakitangan awam seramai 1.4 juta orang dan daripada jumlah itu, 490,000 orang atau 35 peratus terdiri daripada golongan muda berusia 30 tahun ke bawah.

“Mereka sepatutnya ambil sijil cuti sakit jika betul-betul tidak mampu bekerja atau jika bekerja penyakitnya itu akan berjangkit kepada rakan sekerja.
“Kalau sekadar selesema, cukuplah dengan pelepasan masa bekerja satu atau dua jam, tidak perlu beri cuti sakit walaupun diminta,” katanya kepada pemberita di sini semalam.