Monday, December 24, 2012

Bekalan air Selangor cukup sehingga 2030


Lembaga Urus Air Selangor (LUAS)
PETALING JAYA: Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) yakin bekalan air mentah di Selangor kini 100 peratus mencukupi dan mampu menampung keperluan rakyatnya sehingga tahun 2030.
Pengarah LUAS, Md Khairi Selamat berkata, sehingga 20 Disember lalu, kapasiti air bagi Empangan Tasik Subang, Empangan Semenyih, Empangan Langat, Empangan Klang Gates dan Empangan Batu adalah penuh pada tahap 100 peratus sehingga berlakunya limpahan.
Manakala kapasiti air bagi empangan Sungai Tinggi pada tarikh yang sama adalah pada tahap 93.33 peratus dan Empangan Sungai Selangor (90.17%).
“Kapasiti Empangan Sungai Selangor dan Sungai Tinggi ini dijangka akan terus meningkat hasil daripada kadar hujan yang banyak ketika Monson Timur Laut daripada bulan November sehingga Mac.
“Berdasarkan kadar peningkatan takungan, kapasiti kedua-dua empangan ini dijangka akan kembali penuh sebelum bulan Februari 2013,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut Md Khairi, berdasarkan kajian semula sumber air negara (2000-2050), jumlah air larian permukaan di Negeri Selangor adalah sebanyak 17,000 juta liter sehari (JLH) setelah mengambil kira jumlah penyejatan dan susupan semula air bumi.
Manakala jumlah air yang diabstrak untuk bekalan air kepada penduduk adalah sebanyak 4501 JLH.
“Sekiranya usaha dilakukan untuk menakung atau menyimpan sebanyak 40 peratus daripada jumlah air larian permukaan tersebut, sumber air mentah di negeri Selangor boleh dimanfaatkan sehingga tahun 2030,” katanya.
Tepis dakwaan Ong Tee Keat
Kenyataan ini sekaligus menepis dakwaan bekas Presiden MCA Datuk Seri Ong Tee Keat bekalan air Selangor semakin menyusut dan tiada sumber yang baru.
Md Khairi, LUAS telah mengenal pasti lokasi yang berpotensi untuk dibangunkan sebagai sumber air tambahan seperti kolam projek tebatan banjir Sungai Rasau di Lembangan Klang dan juga Kolam Bestari Jaya di Lembangan Selangor.
Md Khairi berkata, kolam terbabit akan bertindak secara dwifungsi sebagai kawalan tebatan banjir dan juga kolam penstoran air ketika berlakunya aliran banjir.
Sebanyak 20 kolam takungan (banjir atau kolam bekas lombong) lain juga dikenal pasti berpotensi untuk dijadikan sumber air tambahan di Daerah Hulu Selangor, Kuala Selangor dan Kuala Langat.
“Kolam-kolam berkenaan dengan jumlah anggaran 325 juta meter padu merupakan rizab simpanan air mentah yang boleh dibangunkan sebagai sumber air tambahan (tertakluk kepada kualiti airnya).
“Selain itu,beberapa lokasi lain yang mempunyai potensi yang sama sebagai sumber air tambahan seperti kolam bekas lombong MC8 dan MC9 di Lembangan Langat.
“Kajian kemungkinan yang terperinci akan dilaksanakan bagi memastikan kebolehdapatan sumber air berkenaan,” katanya.
LUAS dalam masa yang sama juga menurut beliau kini sedang dalam proses pelaksanaan aplikasi’ River Bank Filteration’ (RBF) dan juga pembangunan sumber air bumi (sehingga 15%) yang dijangka mampu menyumbang kepada peningkatan kebolehdapatan sumber air di Selangor.