Thursday, December 20, 2012

Calon wanita mungkin presiden baru Korea Selatan


Park Geun-Hye
SEOUL: Pilihan raya presiden Korea Selatan berakhir semalam dengan tinjauan menunjukkan Cik Park Geun-Hye, anak perempuan mendiang diktator Park Chung-Hee, semakin hampir menjadi pemimpin wanita pertama negara itu.
Apabila pusat-pusat mengundi ditutup pada 6 petang waktu tempatan, tinjauan oleh tiga stesen televisyen Korea Selatan menunjukkan Cik Park, pemimpin Parti Perbatasan Baru (NFP) yang berhaluan konservatif, mendahului pesaingnya, Encik Moon Jae-In, dengan mendapat 50.1 peratus undi.
Encik Moon, pemimpin Parti Bersatu Demokratik (DUP), meraih 48.9 peratus undi.
Pemegang jawatan presiden di Rumah Biru kelak akan terpaksa menangani isu Korea Utara, yang menunjukkan tanda-tanda mahu berperang, sebuah ekonomi yang semakin lembap dan kenaikan kos kebajikan dalam salah satu masyarakat yang semakin tua di dunia.

Di ibu pejabat NFP, anggota parti melompat gembira sedang ringkasan keputusan tinjauan penamat pilihan raya itu disiar melalui televisyen.
Bagaimanapun, belum ada manamana pihak mendakwa sudah menang.
"Kami gembira," kata Encik Kwon Young-Se, seorang kakitangan kempen utama Cik Park.
"Tinjauan itu masih menunjukkan keputusan awal, jadi kami akan melihatnya dengan sikap rendah hati sehingga semua undi selesai dikira," tambahnya.
Penyokong Cik Park yang begitu optimistik berkumpul di luar rumahnya di selatan Seoul sambil bersorak dan mengibarkan bendera kebangsaan Korea Selatan.
Meskipun paras suhu menjunam ke sekitar -10 darjah Celsius, pilihan raya presiden itu tetap berjaya menarik penyertaan kira-kira 75 peratus pengundi, berbanding 63 peratus pada 2007.
"Tinjauan itu menunjukkan kami agak berada sedikit di belakang, tetapi kami masih melihat sekilas sinar harapan kerana ia berada dalam lingkungan jidar selisih (margin of error)," kata Cik Jin Sung-Mee, jurucakap DUP, pembangkang utama.
Cik Park, 60 tahun, berada di ambang mencipta sejarah menjadi presiden wanita pertama Korea Selatan, sebuah negara yang sebahagian besarnya masih dikuasai kaum lelaki, dan presiden pertama ada kaitan dengan bekas pemimpin negara itu.
Mendiang bapanya, Encik Park Chung-Hee, menjadi antara tokoh politik utama dalam sejarah moden Korea Selatan dan dikagumi kerana membawa negara itu keluar daripada kemiskinan. Namun, beliau dikritik hebat kerana tindakannya menyekat pandangan bertentangan sepanjang pemerintahan tenteranya selama 18 tahun. - AFP.