Sunday, December 23, 2012

China akan buka laluan tren paling laju terpanjang


China akan buka laluan tren paling laju terpanjang
BEIJING: China akan membuka laluan kereta api kelajuan tinggi paling panjang minggu depan setelah bahagian rangkaian kereta api itu di antara ibu kota, Beijing, dengan metropolis selatan, Guangzhou, dirasmikan, kata pihak berkuasa semalam.
Pembukaan laluan kereta api kelajuan tinggi itu menunjukkan komitmen China memperbaiki sistem pengangkutan yang sering bermasalah.
Laluan sepanjang 2,298 kilometer itu akan mula beroperasi sepenuhnya pada Rabu ini dan mengurangkan masa perjalanan sehingga separuh dengan kereta api bergerak pada kelajuan 300 kilometer sejam.
Laluan baru itu memberi peluang Kementerian Kereta Api China, yang dipalit dengan pelbagai skandal dan salah laku, menebus kesilapannya.

Kemalangan kereta api kelajuan tinggi pada Julai tahun lalu membunuh 40 orang dan menimbulkan kebimbangan terhadap tahap keselamatan rangkaian yang pesat berkembang itu serta mengancam rancangan mengeksport teknologi kereta api kelajuan tinggi.
"Kami mengambil pelbagai langkah berkesan bagi menguruskan soal keselamatan. Kami boleh mengawal pengurusan keselamatan," kata ketua jabatan sains dan teknologi, Kementerian Kereta Api, Encik Zhou Li, semasa perjalanan ujian kereta api itu dari Beijing ke Zhengzhou.
Tahun lalu, nahas berlaku dekat bandar pantai timur, Wenzhou, yang pesat membangun, apabila sebuah kereta api kelajuan tinggi merempuh sebuah lagi kereta api yang terkandas di landasan setelah disambar petir.
Pemerintah China mengatakan ia kekal komited untuk membina laluan kereta api kelajuan tinggi di antara bandar-bandar utama negara itu.
China akhirnya merancang akan melanjutkan laluan kereta api kelajuan tingginya ke Russia dan Asia Tenggara.
"Kereta api kelajuan tinggi diperlukan untuk pembangunan negara, bagi rakyat dan komunikasi serantau. Banyak negara mengembangkan ekonomi mereka dengan memajukan sistem kereta api kelajuan tinggi," kata Encik Zhou. - Reuters.