Friday, December 28, 2012

DAP puji BN, harap terus jadi pembangkang


Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng
GEORGE TOWN, 26 DIS: Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng memuji Barisan Nasional (BN) sebagai pembangkang di negeri itu kerana kemampuan mereka untuk memberi hadiah kepada pelajar cemerlang dalam peperiksaan Penilaian Menengah Rendah (PMR).

Beliau berkata, adalah amat bagus sekali apabila BN menjadi pembangkang di negeri ini kerana mereka mempunyai sumber kewangan yang baik untuk memberi sumbangan berkenaan.

Menurut laporan The Malaysian Insider, Guan Eng yang juga Setiausaha Agung DAP memuji langkah lawan politiknya sambil berkata, DAP pun tidak mampu berbuat seperti BN sewaktu ia menjadi pembangkang di negeri terbabit.

“Mungkin mereka patut kekal sebagai pembangkang untuk situasi menang-menang bagi rakyat Pulau Pinang,” ujarnya berseloroh.

Menurut Guan Eng lagi, BN Pulau Pinang tidak pula pernah memberi sumbangan sedemikian sewaktu ia menjadi kerajaan, tetapi sekarang apabila menjadi pembangkang ia bersemangat berbuat demikian, sambil menambah kerajaan negeri Pakatan Rakyat memberi sumbangan untuk pelajar cemerlang SPM dan STPM sejak beberapa tahun lalu.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menyampaikan sumbangan wang tunai bernilai RM300 dan RM250 setiap satu kepada tiga pelajar PMR kurang upaya penglihatan yang masing-masing berjaya mendapat 7 dan 6 A.

Menurut Guang Eng lagi, adalah amat bagus untuk BN menggunakan sumbernya sekarang, yang akan memberi manfaat kepada rakyat Pulau Pinang, dengan harapan Hari Krismasnya ialah agar BN Pulau Pinang terus menyumbang kepada rakyat setiap masa dan bukan hanya lima tahun sekali.