Wednesday, December 5, 2012

Israel tidak hiraukan kecaman dunia


Israel tidak hiraukan kecaman dunia
PELAN PERUMAHAN: Gambar yang diambil kelmarin menunjukkan ibu pejabat polis Israel di kawasan projek E1 dekat Maaleh Adumim, petempatan Yahudi Tebing Barat, dekat Baitulmakdis Timur. Israel merancang membina lebih 3,000 apartmen dan 10 hotel di kawasan E1 ini.  - Foto AP

BAITULMAKDIS: Perdana Menteri Israel, Encik Benjamin Netanyahu, kelmarin menepis kecaman dunia terhadap rancangan Israel meluaskan petempatan Yahudi setelah PBB mengiktiraf Palestin sebagai sebuah negara.
"Kami akan teruskan pembinaan di Baitulmakdis dan di semua tempat yang berkepentingan strategik di peta Israel," kata Encik Netanyahu semasa satu mesyuarat mingguan kabinet.
Menurutnya, "langkah sepihak yang diambil Palestin di PBB adalah pencabulan serius perjanjian terdahulu yang ditandatangani dengan Israel".
Pemerintah Israel, tambahnya, "menolak undian Perhimpunan Agung".
Dalam satu lagi tamparan kepada pihak Penguasa Palestin (PA) di Tebing Barat, Israel telah mengumumkan ia akan menahan hasil cukai Palestin bulan ini bernilai sekitar AS$100 juta ($122 juta) kerana hutang PA sebanyak AS$200 juta kepada syarikat elektrik Israel.

Encik Yasser Abed Rabbo, seorang pegawai kanan Palestin, berkata rampasan dana yang seharusnya diberikan kepada pihak PA, yang menghadapi masalah kewangan dan amat diperlukan bagi membayar gaji kakitangannya, adalah satu "rompakan dan pencurian".
Namun, tindakan Israel menahan hasil cukai itu tidak mendinginkan sambutan rakyat Palestin terhadap kepulangan presiden mereka, Encik Mahmoud Abbas, ke Tebing Barat, Ahad lalu.
Encik Abbas disambut dengan sorakan daripada ribuan penyokong dalam satu perhimpunan meraikan taraf baru yang diberikan kepada Palestin di PBB.
Tetapi para pegawai Palestin mengakui bahawa mereka masih belum memutuskan apa yang akan dilakukan dengan status baru mereka dan sedang menantikan pilihan raya Israel serta idea baru daripada Presiden Amerika Syarikat, Encik Barack Obama, sebelum menentukan langkah selanjutnya.
Kecewa dengan tindakan Perhimpunan Agung PBB menaikkan status Palestin daripada "entiti pemerhati" kepada "negara bukan anggota", Israel, Jumaat lalu, menyatakan ia akan membina 3,000 rumah lagi di Tebing Barat dan Baitulmakdis Timur, kawasan yang diingini rakyat Palestin, selain Gaza, sebagai sebahagian wilayah negara mereka.
Seorang pegawai Israel turut mengatakan pemerintah telah mengerahkan "kerja-kerja awal merancang dan menetapkan zon" bagi ribuan rumah di kawasan-kawasan itu termasuk di zon yang dipanggil E1, dekat Baitulmakdis.
Pembinaan itu akan membahagi dua kawasan Tebing Barat dan memalapkan peluang Palestin, yang disokong Amerika dan penaja antarabangsa lain bagi proses damai Timur Tengah, bagi sebuah negara yang tiada sempadan di dalamnya.
Namun, pihak berkuasa Israel menyatakan ia mungkin mengambil masa dua tahun sebelum sebarang binaan dimulakan di kawasan E1.
Status Palestin yang ditingkatkan kepada negara bukan anggota mempunyai implikasi undang-undang kerana ia membolehkan pihak Palestin ke Mahkamah Jenayah Antarabangsa bagi memfailkan aduan terhadap Israel. - Reuters, AP.

Persamaan Yahudi dan Umno BN