Sunday, December 2, 2012

Isu sabotaj dalam parti masih hantui Najib


Presiden Umno, Datuk Seri Najib Tun Razak.
NAMPAKNYA isu sabotaj dalam parti masih membimbangkan Presiden Umno, Datuk Seri Najib Tun Razak.
Ini khususnya di kalangan mereka yang tidak dipilih sebagai calon pada pilihan raya umum Malaysia akan datang yang harus diadakan selewat-lewatnya pada Jun tahun depan.
Dalam ucapan penggulungannya sempena hari penutup Perhimpunan Agung Umno ke-63 semalam, Perdana Menteri Malaysia itu sekali lagi membayangkan kebimbangannya itu.
"Saya percaya musuh tak berapa kuat. Yang saya khuatir sikit saja… soal kita sesama kita," kata Datuk Seri Najib, sambil merujuk kepada isu sabotaj yang pernah menyebabkan perikatan Barisan Nasional (BN) kehilangan majoriti dua pertiga dalam parlimen semasa pilihan raya umum pada Mac 2008.
Semasa menyampaikan ucapan menggulung perbahasan perhimpunan itu, yang terakhir sebelum Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13) diadakan, Datuk Seri Najib berkata beliau ingin menanyakan kepada para perwakilan Umno satu 'soalan cepumas'.

 "Kalau anda tidak terpilih sebagai calon adakah anda akan sokong sepenuhnya calon yang dipilih oleh Umno dan Barisan Nasional?" tanya beliau.
Menurutnya, tinjauan itu penting, namun beliau tidak meminta anggota perwakilan memberikan jawapan ketika itu.
Sebaliknya, beliau mahu mereka memikirkannya semasa dalam perjalanan pulang dan "cuba tepuk dada tanya selera".
Datuk Seri Najib berkata, walaupun suasana dalam Dewan Merdeka di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) itu "gemanya" begitu hebat, tetapi untuk menghayatinya dan membawa semangat itu dan bertahan sehingga masa pilihan raya serta berjumpa penyokong-penyokong bukan mudah.
Menurutnya ini kerana kadang kala terdapat golongan 'batu api' dan 'tukang kipas' di kalangan anggota Umno.
"Kalau tak kuat imannya daripada sokong sepenuhnya turun kepada sokong sahaja. Ataupun daripada sokong, dia buat dak (buat tidak tahu)," kata Perdana Menteri Malaysia itu.
Tambahnya, lebih buruk lagi jika anggota Umno memilih untuk mensabotaj parti atau 'lompat parti'.
"Kita mesti kata, kita mesti dengan suara yang cukup kuat, bahawa jawapan yang kita hendak pada soalan cepumas itu tak lain dan tak bukan, kalau saya tidak dipilih sebagai calon, saya tetap akan sokong sepenuhnya calon Umno dan Barisan Nasional," kata beliau.
Presiden Umno itu berkata, jika anggota Umno boleh berbuat demikian, Umno dan BN dapat mencapai kemenangan majoriti dua pertiga kerusi dalam parlimen semasa Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU 13).
Mengulas mengenai matlamat memenangi majoriti dua pertiga kerusi Parlimen dalam pilihan raya akan datang itu pada satu sidang media selepas perhimpunan agung Umno dibubarkan, Datuk Seri Najib berkata ia merupakan matlamat yang perlu dicapai dan mereka akan melakukan segala-galanya untuk mencapai matlamat itu.
Beliau juga menyatakan keyakinannya bahawa momentum yang dibina semasa perhimpunan itu dapat dikekalkan sehingga pilihan raya diadakan.
Tempoh pentadbiran Datuk Seri Najib adalah sehingga April depan. Beliau perlu membubarkan parlimennya selewat-lewatnya pada tarikh tersebut dan mengadakan pilihan raya dalam masa 60 hari selepas itu.
Semalam, beliau membayangkan bahawa PRU-13 tidak akan diadakan bulan ini.