Saturday, December 8, 2012

Makna di sebalik status baru negara Palestin


Palestine negara pemerhati bukan anggota
GEMBIRA DIISYTIHAR NEGARA: Penduduk bandar Ramalah, di Tebing Barat, dengan riang mengibarkan bendera kebangsaan Palestin dan mempamerkan gambar Presiden Mahmoud Abbas setelah Palestin mendapat pengiktirafan sebagai sebuah 'negara pemerhati bukan anggota' Pertbuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, lewat bulan lalu. - Foto AP

Olih: Darwis Said - GENAP 65 tahun selepas satu Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) meluluskan Resolusi 181 yang membahagikan Palestin menjadi beberapa wilayah - diikuti terbentuk sebuah negara Yahudi bernama Israel pada 15 Mei 1948 - permohonan Palestin menjadi sebuah "negara pemerhati bukan anggota" badan dunia itu diluluskan PBB.
Rakyat Palestin dan penyokongnya meraikan pencapaian itu sebagai satu 'kemenangan' dan langkah penting ke arah memenuhi cita- citanya menjadi sebuah negara bebas.
Ini setelah usul itu disokong 138 negara dan ditentang sembilan negara, manakala 41 negara lagi menahan undiannya.
Ada juga yang menyatakan ia satu undian simbolik.

Namun, mengapakah ia simbolik dan apakah makna di sebalik status terbaru itu bagi Palestin, Israel dan dunia?
Mengapakah negara anggota PBB menunjukkan reaksi berbeza-beza terhadapnya?
Lantas, apakah ia mencerahkan harapan Palestin untuk menjadi sebuah negara yang diiktiraf dunia?
Dalam suasana geopolitik semakin rumit hari ini, jawapannya tidak semudah difikirkan.
IMPLIKASI STATUS BARU
Sebelum 29 November lalu, Palestin hanya berstatuskan sebuah entiti atau 'pemerhati kekal' dalam PBB, di bawah pentadbiran Pertubuhan Pembebasan Palestin (PLO).
Sekarang, selepas mendapat sokongan dua pertiga daripada 193 negara anggota PBB, taraf Palestin dinaikkan kepada negara pemerhati bukan anggota dalam badan dunia itu.
Ini bermakna Palestin boleh mengambil bahagian dalam perdebatan dalam Perhimpunan Agung PBB dan menyertai mana-mana agensi PBB dan Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) walaupun prosesnya tidak memberi jaminan automatik.
Jika Palestin dibenarkan menyertai ICC dengan menandatangani perjanjian pengasas mahkamah antarabangsa itu - Statut Rome 1998 - maka ini memungkinkan Palestin meminta mahkamah tersebut menyiasat dakwaan jenayah perang terhadap Israel ketika Perang Gaza 2008-2009 dan konflik terbaru di wilayah sama, bulan lalu.
Tahun lalu, Palestin pernah berura-ura mendapatkan status 'negara anggota penuh' PBB tetapi usulnya itu gagal mendapat sokongan 15 anggota Majlis Keselamatan PBB.
Setelah berhadapan dengan lobi Amerika Syarikat, yang juga sekutu rapat Israel, Palestin gagal mendapatkan sembilan undian yang diperlukan dalam majlis tersebut.
Bagaimanapun, simbolisme kenaikan status Palestin di PBB itu tidak dapat dinafikan kerana buat pertama kali mereka secara rasmi dinamakan 'negara' pemerhati.
Palestin kini menghadapi suasana yang berbeza sedikit.
"Kami sekarang mempunyai sebuah negara; dunia sudah mengatakannya dengan lantang: 'Ya untuk sebuah negara Palestin'," kata Presiden Palestin, Encik Mahmoud Abbas.
Lantas, perubahan status Palestin dalam PBB turut memberi kesan mendalam bagi pihak-pihak berkepentingan.
REAKSI BERBEZA-BEZA
Namun, ia juga mengundang reaksi berbeza-beza, khususnya dari kalangan sepertiga anggota PBB yang menentang dan menahan undi mereka terhadap perubahan status Palestin itu.
Mereka - termasuk Amerika, Canada, Republik Czech, Jerman, Australia, Belanda, Singapura dan Israel sendiri - berpendapat ia tidak akan membawa apa-apa perubahan asas.
Ini kerana negara Palestin hanya akan benar-benar wujud apabila Encik Abbas atau penggantinya menandatangani perjanjian damai dengan Israel yang mampu menyelesaikan persoalan asas dalam perjuangan kededua pihak itu.
Ringkasnya, persoalan asas perihal memutuskan isu-isu menetapkan garis sempadan negara Palestin, nasib peneroka Yahudi di wilayah yang diduduki Israel, masa depan pelarian Palestin yang diusir Israel sejak kelahirannya dan isu Baitulmakdis.
Mereka berpendapat undian di PBB itu belum dapat menyelesaikan isu-isu asas yang boleh mewujudkan negara Palestin dan langkahnya berdamai dengan Israel secara lebih berkekalan dan mampu dipertahankan.
Bukannya mereka mahu menafikan hak rakyat Palestin untuk mewujudkan negara berdaulat yang bebas menentukan nasibnya sendiri, tetapi mereka khuatir status baru Palestin di PBB itu, sebaliknya, boleh menghalang rundingan damai Israel-Palestin secara berkesan.
Lebih-lebih lagi jika Palestin mahu menggunakan status barunya untuk memulakan satu kempen menentang Israel melalui penyertaan dalam ICC.
Singapura - salah satu daripada 41 negara yang menahan diri daripada mengundi - misalnya, menyokong kuat hak rakyat Palestin mewujudkan negara bebas dan langkah ke arah penyelesaian secara aman perihal isu Palestin dan Baitulmakdis melalui beberapa resolusi di PBB sebelum ini.
Namun, Singapura menahan diri daripada mengundi kerana percaya bahawa satu penyelesaian rundingan bersama sahaja yang boleh mengarah kepada satu huraian yang boleh dipertahankan dan berjangka panjang.
"Maka tidak betul untuk berkata bahawa Singapura tidak menyokong perjuangan rakyat Palestin," kata Menteri Negara Kanan (Ehwal Dalam Negeri merangkap Ehwal Luar), Encik Masagos Zulkifli Masagos Mohamad.
"Tetapi dalam kes ini, Singapura menahan diri (daripada mengundi) kerana ia percaya hanya satu penyelesaian yang dirunding bersama yang boleh mengarah kepada huraian yang boleh dipertahankan dan berjangka panjang.
"Kededua pihak mempunyai hak dan tanggungjawab bersama yang sah dan harus bersedia bertolak ansur untuk mencapai kebaikan bersama dan kedamaian berkekalan," jelas beliau.
Bagi Israel, kenaikan taraf status Palestin di PBB dilihatnya sebagai langkah sehala yang mendahului status muktamad dalam rundingan berkenaan.
"Pihak Palestin komited menyelesaikan semua isu tertunggak dalam rundingan-rundingan dan tindakan sehala seperti itu akan dilihat sebagai satu pelanggaran," kata Jurucakap Perdana Menteri Israel, Encik Mark Regev.
Perdana Menteri Israel, Encik Benjamin Netanyahu, juga khuatir kemungkinan Palestin meminta ICC menyiasat negaranya berhubung pelanggaran Konvensyen Geneva - berikutan langkahnya mengusir penduduk Palestin secara paksa dan membangunkan lebih banyak kawasan petempatan dalam wilayah yang didudukinya - selain dakwaan jenayah perang terhadap Israel berhubung Perang Gaza.
Amerika menentang usul status baru Palestin di PBB itu atas alasan kesesuaian masa dan menyifatkannya sebagai "malang dan tidak produktif".
Presiden Barack Obama mahu Encik Abbas menangguhkan usul dan undian PBB itu bagi memberi jalan kepada Amerika merangsang semula rundingan damai secara langsung antara Israel dengan Palestin.
Namun, Palestin dan dua pertiga negara anggota PBB yang menyokong perjuangannya melihat status terbarunya dalam badan dunia itu dari sudut yang berbeza.
Palestin melihat status terbarunya itu sebagai pengukuh langkah mereka berunding dengan Israel, khususnya bagi isu-isu yang dipertikaikan kededua pihak.
Ia juga bagi melindungi hak mereka ke arah menentukan masa depan secara bebas dan mencapai 'huraian dua negara' yang dicita-citakannya dengan lebih cepat lagi.
Tujuan mereka adalah memungkinkan kejayaan dalam rundingan damainya dengan Israel dengan menyajikan 'huraian dua negara' itu sebagai pendorong ke arah mendapatkan sokongan PBB.
Bagaimanapun, Israel memutuskan bertindak balas dengan meluaskan usaha membina 3,000 rumah baru di kawasan petempatan dalam wilayah yang didudukinya di Tebing Barat.
Langkah itu ditentang sekutu-sekutunya dari Barat, termasuk Amerika, Britain, Perancis dan Jerman.
LANGKAH SELANJUTNYA
Yang jelas, pengiktirafan status baru Palestin di PBB belum cukup menjamin laluan bagi negara Arab itu memenuhi cita-cita rakyatnya itu.
Encik Abbas dan Encik Netanyahu atau siapa sahaja yang bakal menggantikan mereka masih perlu meluangkan masa ke meja rundingan.
Huraian dua negara itu hanya dapat dicapai apabila perjanjian damai yang mampu menyelesaikan semua isu tertunggak dan menjamin hak kededua pihak yang bertelagah dimeterai secara rasmi.
Amerika juga masih diperlukan bagi memudahkan proses itu.
Penyelesaiannya memang tidak mudah tetapi ia masih boleh diusahakan pihak-pihak yang cintakan kedamaian di Timur Tengah - baik daripada kalangan dua pertiga anggota PBB yang menyokong resolusi terbarunya itu mahupun daripada kalangan sepertiga lagi yang masih mempersoalkannya.