Sunday, December 30, 2012

Menyingkap Tabir Dunia, Sebelum Tirai 2012 Dilabuhkan


Sebelum Tirai 2012 Dilabuhkan
Malaysia perlu mengadakan Pilihan Raya Umum Ke-13 sebelum April ini dan para pengamat politik menjangkakan ia akan diadakan pada Mac.
Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Najib Tun Razak, akan memimpin Barisan Nasional (BN) buat kali pertama dalam menghadapi pilihan raya umum akan datang.
Menurut pengamat politik, konsep 1Malaysia Datuk Seri Najib dan pelbagai program kerajaannya untuk memenangi hati rakyat, termasuk agihan habuan oleh kerajaan Malaysia, masih belum 'cukup' untuk memaniskan suasana bagi BN merampas semula empat negeri yang dikuasai Pakatan Rakyat.

Menyingkap 2012
TAHUN 2012 yang bakal melabuhkan tirainya dalam masa beberapa hari menyaksikan berbagai-bagai pahit manis pencapaian dan pergolakan dunia.

Daripada perang saudara yang berpanjangan di Syria, pilihan raya Presiden Amerika Syarikat, pengiktirafan Palestin sebagai sebuah negara oleh Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) kepada beberapa bencana alam besar yang mengorbankan ribuan jiwa.
Dalam kita meninggalkan 2012, apakah tahun 2013 bakal membentangkan cahaya kedamaian dengan dunia yang lebih aman?
Apakah pula perkembangan politik dunia yang bakal menjadi tumpuan pada tahun depan?
KEBANGKITAN ARAB
Syria
Sejauh ini, lebih 45,000 rakyat Syria telah terkorban dalam pemberontakan menentang rejim pemerintahan Presiden Bashar al-Assad yang berlarutan selama 21 bulan.
Para pengamat berkata bahawa Amerika dan negara-negara Barat kini telah menukar strategi dengan mengiktiraf pasukan pemberontak Syria dan sedang menimbangkan untuk membekalkan senjata kepada kumpulan itu.
Pelbagai usaha telah dilakukan untuk menggesa Presiden Assad meletak jawatan.
Namun sejauh ini, harapan konflik tersebut berakhir segera masih malap memandangkan usaha terbaru Duta Khas PBB ke Syria, Encik Lakhdar Brahimi, pada minggu lalu, sekali lagi gagal mencapai sebarang persetujuan bagi melaksanakan peralihan kuasa yang aman.
Sekutu utama Syria, Russia, berdepan dengan kemarahan negara-negara Barat kerana ia enggan memutuskan kerjasama dengan rejim Encik Assad.
Sebelum ini, Russia telah beberapa kali berkata bahawa ia tidak akan mengukuhkan kedudukan Encik Assad tetapi pada masa yang sama tidak akan menggesa pemimpin itu meletak jawatan.
Alasan yang diberikan Russia adalah rakyat Syria perlu memutuskan sendiri masa depan negara mereka.
Sedang pertempuran berterusan, krisis kemanusiaan di negara itu semakin meruncing dengan jumlah pelarian Syria dianggarkan mencapai 1.1 juta orang menjelang Jun 2013.
Selain Syria, satu lagi negara Arab yang masih bergolak adalah Mesir, dengan bantahan kini tertumpu pula kepada pemerintahan Presiden Mohamed Mursi.
Minggu lalu, Mesir menerima perlembagaan yang dilakar golongan Islamis, dengan sokongan dua pertiga pengundi dalam pungutan suara yang didahului bantahan selama berminggu-minggu.
Kelulusan bagi perlembagaan itu bermakna pilihan raya umum akan diadakan dalam masa dua bulan bagi menggantikan dewan yang dikuasai golongan Islamis yang dibubar mahkamah perlembagaan Mesir sebelum Encik Mursi dipilih Jun lalu.
Pembangkang berfahaman sekular mendakwa bahawa penipuan berlaku dalam kedua-dua pusingan pungutan suara itu dan sedang memikirkan langkah seterusnya dalam kempen mereka menentang perlembagaan tersebut.
Menurut mereka, perlembagaan baru itu mengehadkan kebebasan golongan penganut agama minoriti dan wanita.
Encik Mursi, bagaimanapun, melahirkan harapan pelaksanaan perlembagaan baru itu akan membantu mengakhiri gejolak politik dan membenarkan beliau memberi tumpuan pada tugas memulihkan ekonomi negara itu yang rapuh.
Namun, pertembungan yang masih membelenggu negara itu bermakna Encik Mursi perlu meneruskan usaha mengadakan dialog dengan pihak pembangkang dalam bulan- bulan mendatang.
Jika tidak, pergolakan akan berterusan sehingga mengaburkan masa depan Mesir.
PERKEMBANGAN POLITIK DUNIA
Amerika Syarikat
Pada 21 Januari ini, Barack Obama bakal mengangkat sumpah bagi penggal kedua sebagai presiden adikuasa dunia, Amerika.
Pelantikan tersebut, bagaimanapun, diselubungi keadaan ekonomi negara itu yang masih belum pulih sepenuhnya dan kadar pengangguran yang masih tinggi.
Namun, sebelum penggal keduanya bermula, Obama kini terpaksa berdepan dengan krisis "tebing fiskal" iaitu apabila perbelanjaan diturunkan dan cukai dinaikkan secara automatik pada 1 Januari ini, yang dikhuatiri mengheret Amerika mengalami kemeseletan ekonomi.
Jika krisis "tebing fiskal" ini dapat ditangani dengan baik, di sebalik keadaan Kongres yang berpecah-belah, Obama dapat memulakan penggal keduanya dengan mandat yang lebih kukuh dan positif.
Beliau lantas dapat menumpukan perhatian pada janji-janji yang masih belum dapat dicapai semasa penggal pertamanya.
Obama, antara lain, berikrar untuk meneruskan usaha memeterai perjanjian damai di antara Israel dengan Palestin.
Keadaan, bagaimanapun, semakin sukar dengan Israel masih berdegil membina 3,000 rumah lagi di Tebing Barat dan Baitulmakdis Timur.
Dengan tindakan Palestin mendapatkan pengiktrafan Perhimpunan Agung PBB sebagai negara pemerhati bukan anggota juga dilihat sebagai tidak membantu keadaan.
China & Jepun
China pula akan melihat peralihan pucuk pimpinannya pada Mac ini.
Di bawah peralihan kuasa yang berlaku sekali dalam tempoh sedekad itu, Naib Presiden, Encik Xi Jinping, bakal menggantikan Encik Hu Jintao sebagai presiden negara itu.
Naib perdana menteri, Encik Li Keqiang, pula bakal mengambil alih jawatan perdana menteri bagi menggantikan Encik Wen Jiabao pada Mac tahun depan.
Pucuk pimpinan baru menghadapi cabaran getir, termasuk pertumbuhan semakin perlahan ekonomi negara itu.
Dengan kepimpinan baru itu, perhatian dunia akan tertumpu pada usaha China menangani ketegangan dengan negara-negara jiran di rantau Asia.
China dilihat cuba meluaskan pengaruhnya, terutama dalam pertikaian hak milik wilayah di Laut China Selatan dan Laut China Timur.
Ujian utama adalah bagaimana kedua- dua pemimpin baru China dan Jepun akan menangani isu tuntutan ke atas kepulauan Senkaku (atau Diaoyu menurut China), di Laut China Timur.
Perdana menteri baru Jepun yang baru dilantik minggu ini, Encik Shinzo Abe, nampak mengambil pendirian tegas dengan China ekoran isu tuntutan ke atas kepulauan itu semasa kempen pilihan raya.
Namun, selepas Parti Liberal Demokratik (LDP) memenangi pilihan raya, beliau bertukar nada dengan menyatakan bahawa China merupakan negara yang penting bagi ekonomi Jepun.
Menyambut baik pendirian Jepun itu, Jurucakap Kementerian Luar Negeri China, Encik Hua Chunying, berkata China berharap dapat menghuraikan pertikaian gugusan kepulauan berkenaan melalui rundingan, namun "tiada perubahan dalam tekad China mempertahankan kedaulatan wilayah negaranya".
Tanpa sebarang tolak ansur, sukar mengharapkan konflik tuntutan wilayah itu dapat dihuraikan pada tahun depan.
Malaysia perlu mengadakan Pilihan Raya Umum Ke-13 sebelum April ini dan para pengamat menjangkakan ia akan diadakan pada Mac.
Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Najib Tun Razak, akan memimpin Barisan Nasional (BN) buat kali pertama dalam menghadapi pilihan raya umum akan datang.
Para pemerhati politik berkata beliau harus memperbaiki pencapaian parti campuran itu dalam pilihan raya 2008 dengan menguasai dua pertiga majoriti dalam parlimen jika mahu kekal berkuasa.
Anak perdana menteri kedua Malaysia itu mengambil alih jawatan Tun Abdullah Ahmad Badawi dalam April 2009, setahun selepas BN mengalami keputusan mengejutkan dalam pilihan raya 2008 apabila ia kehilangan 82 kerusi persekutuan dan kalah di lima negeri - Kelantan, Kedah, Pulau Pinang, Perak dan Selangor.
Bagaimanapun, Perak kembali diperintah BN selepas tiga Anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) Pakatan Rakyat keluar parti menjadi Adun bebas mesra BN.
Sama ada BN mampu bangkit bergantung juga pada keberkesanan parti-parti komponennya, terutama Kongres India Malaysia (MIC) dan Persatuan Cina Malaysia (MCA) yang masing-masing kurang teguh dalam mendekati kaum India dan Cina untuk menyokong mereka.
Menurut pengamat, konsep 1Malaysia Datuk Seri Najib dan pelbagai program kerajaannya untuk memenangi hati rakyat, termasuk agihan habuan oleh kerajaan Malaysia, masih belum 'cukup' untuk memaniskan suasana bagi BN merampas semula empat negeri yang dikuasai Pakatan Rakyat.
Myanmar
Lawatan pertama Presiden Amerika ke Myanmar pada awal November lalu merupakan peristiwa bersejarah bagi rakyat negara itu.
Semasa lawatannya, Encik Obama menjanjikan bantuan bernilai AS$170 juta ($207 juta) selama dua tahun kepada Myanmar.
Ternyata banyak perubahan yang dicatatkan pada tahun lalu oleh negara yang pada satu masa dulu memencilkan diri daripada dunia.
Antaranya, pemimpin pembangkang, Cik Aung San Suu Kyi, 67 tahun, menjadi anggota parlimen (AP) dan menandakan perubahan nasib beliau.
Cik Suu Kyi pernah dikenakan tahanan dalam rumah di sebahagian besar daripada tempoh 20 tahun lalu.
Namun, masih lebih banyak yang boleh dilakukan Myanmar.
Antaranya, isu pembebasan tahanan politik masih lagi belum dihuraikan sepenuhnya.
Selasa lalu, PBB meluluskan ketetapan yang menyambut baik perubahan positif di Myanmar.
Pada masa yang sama, ia turut menarik perhatian pada keprihatinan mengenai nasib masyarakat Islam Rohingya di negara itu.
Ketetapan PBB itu, antara lain, menggesa pemerintah Myanmar memperbaiki kebajikan masyarakat itu "dan melindungi hak asasi kemanusiaan mereka, termasuk hak mereka mendapat kerakyatan".
Pemerintah Myanmar menyifatkan masyarakat Islam Rohingya sebagai pendatang tidak sah dari Bangladesh dan hanya hidup menumpang.
Dengan tekanan yang diberikan bukan saja oleh PBB, malah oleh negara-negara Islam lain, nasib masyakarat Rohingya diharap dapat diberi perhatian sewajarnya pada tahun 2013. - AFP