Sunday, December 23, 2012

Nicol Ann David raih gelaran dunia kali ke7 di Kejohanan Skuasy Wanita Terbuka Dunia 2012 di Camana Bay


Nicol Ann David raih gelaran dunia kali ke7 di Kejohanan Skuasy Wanita Terbuka Dunia 2012 di Camana Bay
AKSI Nicol (kiri) ketika menentang Laura pada aksi final Kejohanan Skuasy Wanita Terbuka Dunia 2012 di Camana Bay, Kepulauan Cayman semalam
RATU negara, Datuk Nicol Ann David melakar sejarah tersendiri apabila mengesahkan gelaran dunia ketujuh selepas memenangi aksi final Kejohanan Skuasy Wanita Terbuka Dunia 2012 di Camana Bay, Kepulauan Cayman semalam.
Kejayaan tersebut hadir selepas pemain No. 1 dunia berusia 29 tahun itu menewaskan Laura Massaro dari England dengan kemenangan straight set 11-6, 11-8, 11-6 dalam tempoh kurang 30 minit.
Kemenangan itu menjadikan Nicol sebagai pemain pertama yang mengungguli tujuh gelaran dunia, sekali gus mengatasi Sarah Fitz- Gerald dari Australia yang meraih enam kejuaraan.

"Saya seperti tidak percayakannya. Saya sangat gembira dengan corak permainan saya hari ini (semalam). Laura juga mempamerkan aksi yang baik kerana dia juga memberikan tekanan pada setiap mata perlawanan.
"Jadi, saya tidak dapat mengambil masa untuk berehat walaupun sebentar kerana saingan yang diberikan sangat kompetitif," kata Nicol seperti yang dipetik dalam laman web rasmi kejohanan iaitu www.worldopensquash.com.
Nicol berkata, dia harus memberikan tumpuan sepenuhnya kepada aksi final itu agar tidak mudah 'termakan' dengan helah Laura.
"Saya hanya memberikan fokus kepada perlawanan tetapi saya juga terpaksa bekerja keras untuk melangkah ke satu tahap yang lebih bagi meraih kemenangan.
"Saya semenangnya mahu meraih kemenangan di sini (Kepulauan Cayman), seterusnya mengungguli gelaran dunia ketujuh. Saya mahukan semuanya!" kata Nicol.
Laura pula mengakui yang Nicol berhak meraih kemenangan tersebut.
"Saya gembira dapat mara ke final tetapi saya juga kecewa kerana tidak dapat mengatasi Nicol.
"Saya masih perlu bekerja lebih keras lagi kerana Nicol bukan mudah untuk ditandingi," kata Laura.
Untuk rekod, Nicol meraih gelaran dunia bermula dengan penyertaan pertamanya di Hong Kong pada 2005, diikuti Ireland Utara (2006), England (2008), Mesir (2010) serta Belanda (2009 dan 2011). - Kosmo