Tuesday, December 18, 2012

Persiapan bagi 'kunjungan' puting beliung


puting beliung
SUVA (Fiji): Negara pulau Pasifik, Fiji, sedang bersedia menghadapi ancaman angin puting beliung yang terbesar pernah melanda negara itu dalam masa 20 tahun semalam setelah puting beliung yang sama melanda Samoa lewat minggu lalu dan membunuh empat orang di Apia, ibu kota Samoa.
Para pelancong di pusat peranginan di kebanyakan pulau-pulau Fiji telah dipindahkan dan pihak berkuasa telah menubuhkan lebih daripada 60 pusat pemindahan, sambil memberi amaran kepada orang ramai supaya mencari tempat perlindungan menjelang ketibaan angin puting beliung tropika, Evan.
Angin puting beliung kategori empat itu dijangka membawa angin kencang, hujan dan menyebabkan banjir di beberapa kawasan di Fiji.

Ia dijangka melewati pulau utama Fiji, Vanua Levu dan Viti Levu, dengan tiupan angin sekuat 270 kilometer sejam.
Semalam, ombak ganas akibat angin puting beliung Evan sudah pun melanda kawasan pantai Suva.
Perdana Menteri Fiji, Encik Frank Bainimarama, telah memerintahkan para petugas awam supaya tidak keluar rumah dan meletakkan perkhidmatan kecemasan dalam keadaan bersiap sedia.
Hospital dan pusat kesihatan telah ditutup kecuali bagi pesakit wad kecemasan.
Bekalan elektrik ke beberapa kawasan juga telah dipotong sebagai langkah berjaga-jaga sekiranya talian elektrik terputus dan jatuh ke jalan raya. - Reuters.