Saturday, December 15, 2012

Polis patahkan rancangan culik, bunuh dan potong zakar Justin Bieber


rancangan culik, bunuh dan potong zakar Justin Bieber
LOS ANGELES: Satu rancangan untuk menculik, memotong kemaluan dan membunuh penyanyi pop remaja, Justin Bieber (gambar), berjaya dipatahkan polis.
Menurut laporan media, rancangan itu sepatutnya dilaksanakan ketika Bieber, 18 tahun, mengadakan konsert di Madison Square Garden, New York, bulan lalu.
Dua suspek yang dikenal pasti sebagai Mark Staake, 41 tahun, dan anak saudaranya, Tanner Ruane, 23 tahun, telah ditahan di Vermont dan New York bulan lalu.
"Hasil siasatan menunjukkan bahawa Justin Bieber mungkin menjadi sasaran rancangan membunuh," kata satu kenyataan Jabatan Keselamatan Awam New Mexico.
Staake dan Ruane dikatakan diupah untuk membunuh Bieber oleh seorang banduan, Dana Martin, yang kini menjalani hukuman penjara selama 978 tahun atas kesalahan merogol dan membunuh.
Martin sebelum ini disabitkan kesalahan merogol dan membunuh seorang remaja perempuan berusia 15 tahun pada 2000.
Staake adalah rakan satu penjara Martin dan rancangan itu dibuat ketika mereka sama-sama ditahan di Las Cruces, New Mexico.
Selain Bieber, Staake turut dilatih bagi membunuh tiga individu lain.

Martin dilaporkan menawarkan ganjaran bernilai AS$2,500 bagi setiap zakar mangsa yang diserahkan Staake dan Ruane kepadanya.
Staake dan Ruane merancang menculik Bieber sebelum membunuh penyanyi itu menggunakan tali leher.
"Mereka juga akan memotong kemaluan Bieber," menurut afidavit mahkamah.
Sementara itu, polis berkata, Martin dipercayai terlalu taasub dengan Bieber, malah dia turut memiliki satu tatu yang sama seperti yang ada di kaki penyanyi Canada berkenaan.
Kata polis, Martin mengarahkan Staake melaksanakan "pembunuhan dan memotong kemaluan Bieber serta pengawal peribadi selebriti terbabit".
Bagaimanapun, rancangan itu terdedah apabila Martin sendiri membocorkan maklumat mengenainya kepada polis, membolehkan pihak berkuasa kemudian menahan Staake di Vermont.
Ruane pula diberkas ketika dalam perjalanan ke New York.
Kata polis, mereka mencuri dengar perbualan Ruane ketika dia menghubungi Martin.
Dalam perbualan itu, Ruane meminta maaf kerana rancangan mereka belum dijalankan seperti sepatutnya. - Agensi.