Monday, December 31, 2012

Satu kampung terharu terima bantuan banjir dari Wan Azizah


Satu kampung terharu terima bantuan banjir dari Wan Azizah
KUANTAN 31 Dis: Walaupun masih bersedih dengan kemusnahan harta benda akibat banjir, namun penduduk Kampung Galing Besar, Kuantan, berduyun-duyun keluar untuk bertemu Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail sekaligus menerima bantuan dari Presiden KEADILAN itu.
Wan Azizah yang tiba pada jam 2 petang semalam turun padang bersama Ahli Parlimen Kuantan, Fuziah Salleh untuk menyampaikan sumbangan barangan keperluan oleh Pusat Khidmat Parlimen Kuantan kepada mangsa banjir.

“Kita bagi bantuan secara berperingkat. Kampung tersebut paling ramai mangsa banjir. Semasa Datin Seri (Wan Azizah) sampai di tempat tersebut untuk serahan bantuan, boleh katakan satu kampung datang.
“Mereka terharu dengan kehadirannya. Bukan sahaja untuk terima bantuan, tapi nak jumpa dan tengok dari dekat Datin Seri,” kata Fuziah ketika dihubungi.
Selain keperluan asas, Fuziah yang prihatin dengan mangsa banjir turut menyalurkan bantuan kepada pelajar.
“Bantuan beg dan baucer diberikan kepada beberapa pelajar anak-anak orang miskin untuk beli barangan sekolah. Setiap seorang dapat RM50. Mereka boleh gunakannya untuk beli apa sahaja yang diperlukan.
“Turut disalurkan bantal, selimut dan tilam semuanya 100 pek. Ada di antara mangsa yang dapat dapur gas kerana rumah mereka musnah teruk,” jelasnya.
Menurutnya, pusat pemeriksaan kesihatan percuma turut disediakan untuk penduduk.
Ia melibatkan rawatan pemeriksaan tekanan darah, tahap gula, payudara dan indeks jisim badan (BMI).