Tuesday, December 11, 2012

Sebahagian besar rakyat Malaysia gemar beri rasuah


Sebahagian besar rakyat Malaysia gemar beri rasuah
KUALA LUMPUR: Sebahagian besar rakyat Malaysia lebih gemar membayar wang rasuah bagi mengelak daripada menghadapi masalah, daripada mengambil bahagian dalam usaha membanteras rasuah, demikian menurut laporan sebuah akhbar tempatan, semalam.
Akhbar The Star memetik Presiden kumpulan Transparency International Malaysia (TI-M), Datuk Paul Low, kelmarin sebagai berkata bahawa walaupun terdapat kesedaran yang tinggi, ramai orang masih kekurangan keyakinan untuk menentang amalan rasuah.
"Apabila dipaksa oleh keadaan (yang memerlukan mereka memberi rasuah), ramai akan memilih untuk membayar.
"Ia hampir menjadi satu cara hidup," katanya selepas melancarkan acara TI-M Berjalan Menentang Rasuah, di Lake Gardens, Kuala Lumpur.
Menurut Datuk Low, satu tinjauan pada 2010 yang dijalankan oleh TI-M mendapati bahawa sekurang-kurangnya satu daripada 10 rakyat Malaysia membayar rasuah, manakala setengah daripada perniagaan kehilangan kontrak atau pelanggan akibat daripada rasuah.

Beliau menggesa pihak awam supaya memainkan peranan lebih besar dalam memerangi rasuah, sambil menekankan bahawa perjuangan terhadap rasuah bukan hanya mampu dilakukan oleh pertubuhan-pertubuhan seperti TI-M atau Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
"Ia bermula dengan satu tindakan kecil.
"Anda jangan membayar, dan jika anda benar-benar mahu mengambil tindakan lanjutan, laporkan mereka yang bertanggungjawab kepada pihak berkuasa," tegas Datuk Low.
Beliau berkata kajian-kajian telah membuktikan bahawa negara-negara yang tidak bertolak ansur terhadap amalam rasuah sering menikmati pendapatan dan taraf hidup lebih tinggi.
"Di beberapa negara lain, bagaimanapun, hampir sepertiga daripada pendapatan seseorang disalurkan kepada membayar rasuah.
"Apabila sebuah masyarakat mencapai tahap itu, ia merupakan tanda pasti tentang kejatuhan sesebuah negara - itu sebabnya kita tidak boleh membiarkan rasuah berterusan," jelasnya.
Lebih daripada 200 orang mengambil bahagian dalam acara tersebut, yang dianjurkan sempena Hari Pencegahan Rasuah Antarabangsa Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), menurut akhbar itu.