Thursday, December 27, 2012

Sesi Persekolahan Boleh Ditangguh Sehingga Banjir Pulih - Muhyiddin


Banjir di Kelantan Terengganu Pahang
KEMAMAN: Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata sesi persekolahan bagi sekolah yang dijadikan pusat penempatan mangsa banjir yang sepatutnya bermula 1 Jan ini akan ditangguhkan sehingga banjir kembali pulih.
Beliau berkata penangguhan itu hanya melibatkan sekolah yang dilanda banjirdan sekolah yang dijadikan pusat pemindahan mangsa banjir.
Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran bagaimanapun berkata penangguhan sesipersekolahan itu tidak membabitkan sekolah yang terselamat daripada bencana itu.

"Sekolah yang digunakan sebagai pusat pemindahan (mangsa banjir) tak perludibuka awal (1 Jan), lewat sehari dua pun tak apa.
"Kalau banjir surut, boleh buka (sekolah) semula, manakala sekolah-sekolahyang tak terlibat dengan banjir akan dibuka seperti biasa," katanya.
Timbalan Perdana Menteri berkata demikian ketika berucap di hadapan sebahagian daripada mangsa banjir di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bukit Mentok dekat sini Khamis.
Beliau turut meninjau keadaan banjir di SK Bukit Mentok yang terletak berdekatan serta kawasan sekitar yang dilanda bencana itu.
Kunjungan Muhyiddin ditemani isteri, Puan Sri Noorainee Abdul Rahman diiringi Menteri Besar Datuk Seri Ahmad Said dan isteri, Toh Puan Norliza Mahmud serta Menteri Belia dan Sukan merangkap Anggota Parlimen Kemaman Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek.
Turut hadir, Timbalan Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Noriah Kasnon dan Panglima Angkatan Tentera Jeneral Tan Sri Zulkifeli Mohd Zin.
Pusat penempatan banjir di SMK Bukit Mentok di sini menempatkan 5,879 penduduk melibatkan 1,365 keluarga.
Muhyiddin berkata pihaknya juga menyerahkan kepada semua pengarah pelajaran negeri untuk memutuskan sama ada perlu menangguhkan sesi persekolahan murid pada1 Jan.
"Kita dah arah pengarah-pengarah pelajaran negeri buat keputusan sendiri untuk tangguh dulu persekolahan, tengok pada keadaan," katanya. BERNAMA