Saturday, December 22, 2012

WikiLeaks mahu sebar sejuta dokumen tahun depan


Julian Assange
JULIAN ASSANGE: 'Ucapan Krismas'nya di beranda Kedutaan Ecuador di London 
disambut sekitar 100 penyokong. - Foto REUTERS

LONDON: WikiLeaks akan menyebarkan sejuta dokumen tahun depan yang dijangka menjejas semua negara di dunia, kata pengasas laman web itu, Encik Julian Assange, semasa menyampaikan ucapan di beranda Kedutaan Ecuador di London, kelmarin.
Dalam 'ucapan Krismas' yang menandakan tempoh enam bulan sejak beliau memohon perlindungan di kedutaan itu bagi mengelakkan diusir ke Sweden atas tuduhan rogol dan serangan seksual, Encik Assange juga berkata pintunya terbuka bagi sebarang rundingan.
Disambut sorakan sekitar 100 penyokong, Encik Assange berkata walaupun beliau menghabiskan separuh tahun ini berkurung di dalam bangunan kedutaan itu, ia merupakan tahun yang penting dengan laman antirahsianya telah mendedahkan dokumen tentang negara Syria dan topik-topik lain.
"Tahun depan akan sama sibuk. WikiLeaks sudah pun mempunyai lebih sejuta dokumen yang sedang disiapkan untuk disebarkan - dokumen yang menjejas semua negara di dunia, ya semua negara dalam dunia ini," katanya dengan disambut tepukan.

Bekas penggodam komputer warga Australia itu turut mengucapkan terima kasih kepada Presiden Ecuador, Encik Rafael Correa, kerana memberikannya suaka sambil mengecam Amerika Syarikat serta pemerintah negara Barat lain.
"Demokrasi sebenar bukanlah Rumah Putih, demokrasi sebenar bukanlah kamera, demokrasi sebenar adalah perjuangan orang ramai yang dilengkapi kebenaran bagi menentang pembohongan dari Tahrir ke London," katanya.
Namun, Encik Assange, 41 tahun, menambah bahawa "pintu terbuka dan pintu sentiasa terbuka bagi sesiapa yang ingin bercakap dengannya" demi menghuraikan keadaan itu.
Pada akhir ucapannya, beliau mengangkat tangan yang digenggam sebagai tanda hormat.
Kenyataan yang dikeluarkan Duta Besar Ecuador, Cik Anna Alban, berbunyi:
"Pada ketika apabila orang menjadi semakin rapat, Ecuador menegaskan sekali lagi semangat perpaduan yang negara kami berikan enam bulan lalu kepada orang yang ditindas kerana berfikir dan menyatakan dirinya secara bebas.
"Sekarang adalah masa untuk renungan dan bersatu.
"Bagi pihak negara saya, saya menyatakan sekali lagi sokongan kami kepada Julian Assange.
"Julian telah menjadi tamu yang kami hargai di rumah ini."
Kemunculan Encik Assange di khalayak ramai kali ini merupakan yang kedua sejak beliau menyampaikan ucapan di beranda yang sama pada 19 Ogos lalu.
Sejak kemunculan pertama itu, pegawai Ecuador mengatakan Encik Assange mengalami masalah kesihatan.
Britain tidak mahu memberikan jaminan keselamatan kepada Encik Assange untuk ke Ecuador atau ke hospital dengan menyatakan ia mempunyai tanggungjawab undang-undang dengan mengusirnya ke Sweden setelah Encik Assange gagal dalam permohonannya di mahkamah Britain pada Jun lalu.
Encik Assange mendakwa jika beliau diusir ke Sweden beliau akhirnya akan dihantar ke Amerika Syarikat untuk dibicarakan atas tindakan WikiLeaks mendedahkan fail rahsia diplomatik dan ketenteraan Amerika.
Katanya lagi, beliau mungkin dipenjara seumur hidup atau menghadapi hukuman mati di Amerika. - AFP.
Siapa Setan, siapa Syaitan dan siapa pula Sultan
Siapa Setan, siapa Syaitan dan siapa pula Sultan? InsyaAllah Ta'ala, kalian dapat membedakan antara tiga watak tersebut setelah kalian membaca buku "Setan, Syaitan Sultan", oleh Syed Hussein Al-Attas aka S.H. ALATTAS aka Pak Habib.
Buat pesanan DI SINI.