Thursday, January 3, 2013

Berita sedih teramat sedih untuk pesakit dan keluarga pesakit


Berita sedih teramat sedih untuk pesakit dan keluarga pesakit
PETALING JAYA 2 Jan: Orang ramai tidak lagi berpeluang mendapat ubat percuma dari hospital atau klinik kerajaan sebaliknya perlu menanggung sendiri kos menerusi swasta ekoran dasar baru yang bakal dilaksana Kementerian Kesihatan tidak lama lagi.
Pengerusi Biro Kepenggunaan KEADILAN, Yahya Sahri berkata, maklumat diterimanya menyatakan Kerajaan Persekutuan menangggung RM1.2 bilion untuk membiayai ubat-ubatan pesakit dan ia meningkat 10 peratus setiap tahun.
Oleh sebab itu, kementerian dikatakan terpaksa menghentikan pengedaran ubat-ubatan secara percuma.

“Antara ubat paling banyak diberi kepada pesakit ialah paracetamol (ubat demam) dan ubat penahan sakit, piriton (selsema) dengan kos 10 sen setiap biji. Kementerian membelanja lebih RM1.2 bilion dan ia meningkat 10 peratus setiap tahun.
“Maka satu sistem baru akan diperkenal dalam masa terdekat. Kementerian Kesihatan tidak lagi membekalkan ubat kepada pesakit, tetapi perlu membelinya sendiri di farmasi,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat KEADILAN hari ini.
Yahya berkata, sistem itu jauh berbeza pada masa kini apabila kementerian menanggung segala kos rawatan, konsultasi dan perubatan.
“Kami mendesak dasar baru itu dibatal serta-merta kerana ia jelas membebankan rakyat terutama golongan berpendapatan rendah selain kos sara hidup setiap hari kian melonjak.
“Kita juga desak dasar sedia ada dikekalkan kerana kami yakin jika kewangan negara diurus dengan tata kelola baik termasuk membasmi rasuah, rawatan kesihatan percuma boleh diberi kepada seluruh rakyat sebagaimana dinikmati di beberapa negara Eropah,” katanya.
Mengikut data Kewangan Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC), ketika ini, 72 peratus daripada 12 juta pekerja Malaysia bergaji RM700 hingga RM1,500 sebulan dengan purata mereka mempunyai tiga orang anak. Dasar baru ini pasti akan membebankan rakyat.
Turut hadir dalam sidang media, Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Sikamat, Aminuddin Harun dan Setiausaha Kewangan (MTUC), Alias Awang.