Friday, January 18, 2013

Kerajaan Rakyat mohon ke Bawah DYMM Yang di-Pertuan Agong sudi apalah kiranya baca kenyataan ini

eri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong XIV Tuanku Abdul Halim Mu'adzam
Kenyataan terkini oleh Tun Dr Mahathir Mohammad untuk membersihkan dirinya daripada segala salahlaku dalam pemberian kad pengenalan haram yang sedang dalam siasatan oleh Suruhanjaya Siasatan Diraja menggambarkan dirinya sebagai angkuh, tidak menyesal dan manipulator sejarah yang tidak bertanggung jawab.

Percubaan Dr. Mahathir untuk mengheret Perdana Menteri yang pertama, Tunku Abdul Rahman, dalam kekotoran ini adalah keji dan hina. Beliau cuba untuk mengaburi pandangan rakyat dengan menyamakan penipuan kad pengenalan yang dikendalikan dalam keadaan sembunyi semasa beliau memegang tampuk kuasa Perdana Menteri dengan pemberian kewarganegaraan di semenanjung Malaysia semasa era Tunku.

Beliau berterusan menghina akal kita dengan menganggap bahawa rakyat tidak berupaya untuk membezakan antara operasi gelap yang diselubungi rahsia yang sememangnya suatu jenayah dengan perkara yang berlaku dengan keputusan secara kolektif semasa pembentukan sejarah kemerdekaan kita. Maka, yang kedua itu bukanlah subjek siasatan sepertimana projek kad pengenalan tersebut. Oleh itu Dr. Mahathir harus hentikan sikap berdolak-dalih beliau yang mengalih tumpuan kita terhadap isu utama.

Projek haram ini berlaku hanya dua minggu sebelum Plihan Raya Umum 1994 dan Dr Mahathir harus berhenti berpura-pura yang beliau tidak mampu melihat kaitannya dengan konklusi yang jelas bahawa wujud skim kewarganegaraan untuk undi.

Saya tetap terkejut apabila mendapati bahawa pesalah-pesalah dalam penipuan tersebut telah menginap di rumah Aziz Shamsuddin dan membuat manfaat daripadanya sebagai pusat operasi untuk mengeluarkan kad pengenalan palsu tersebut. Tidak lebih mengejutkan apabila ada keterangan bahawa Megat Junid Megat Ayub pernah mengarahkan pegawai atasan Jabatan Pendaftaran Negara untuk mengeluarkan resit penerimaan kad pengenalan itu.

Aziz Shamsuddin dan Megat Junid tidak mungkin mampu melaksanakan penipuan yang sebegitu rapi tanpa arahan atau persetujuan daripada orang atasan mereka, yang tentunya ketika itu adalah Dr. Mahathir.

Saya tetap dengan seruan saya bahawa Dr. Mahathir harus disiasat atas dakwaan mengkhianati rakyat dan Negara dengan menjual kedaulatan kita dengan mengizinkan skim keji ini hanya untuk memastikan UMNO dan Barisan Nasional kekal di Sabah.

Mohamed Azmin Ali

PEJABAT YB MOHAMED AZMIN ALI

Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN)
Ahli Parlimen Gombak
Ahli Dewan Negeri Bukit Antarabangsa

Orang Melayu wajib baca (klik di sini)