Tuesday, January 15, 2013

KS Bawani, siswa pencerah masa depan. Sharifah Zohra lambang kemiskinan minda


Sharifah Zohra Jabeen Syed Shah Miskin, KS Bawani, forum Universiti Utara Malaysia (UUM)
Keberanian KS Bawani, pelajar Universiti Utara Malaysia (UUM) mempertahankan kebenaran, keadilan berhujah, dan prinsip tegas beliau berkaitan hak mahasiswa dan perjuangan rakyat, dalam sebuah forum bulan lalu memberi harapan baru untuk negara.
Berkata demikian, Ahli Parlimen Balik Pulau, Yusmadi Yusoff malah menyifatkan tindakan Bawani itu mencerahkan mindanya, bahawa mahasiswa sememangnya mampu membawa perubahan kepada negara.
“Bawani anda pelajar yang menginsafkan dan mencerahkan minda saya. (Hanya dengan) keberanian, keyakinan dan ilmu (segalanya dapat diatasi).
“Terima kasih beri harapan pada saya dan Malaysia,” kata Yusmadi yang juga Pengerusi Biro Strategi & Hubungan Antarabangsa KEADILAN di twitternya pagi ini.

Video forum tersebut menjadi topik hangat perbincangan di facebook dan pengguna internet.
Klip selama 24 minit itu memaparkan seorang ahli panelnya, Sharifah Zohra Jabeen Syed Shah Miskin menegur Bawani.
Sharifah Zohra Jabeen Syed Shah Miskin, KS Bawani, forum Universiti Utara Malaysia (UUM)
Bawani membangkitkan kepada penganjur forum tentang apa yang beliau percaya pembentangan mereka tidak betul mengenai Bersih dan penerajunya, Datuk S Ambiga dan Datuk A Samad Said.
Bawani juga menegaskan, sejumlah negara mampu menawarkan pendidikan percuma sehingga ke peringkat universiti.
Beliau mempersoal mengapa Malaysia tidak boleh berbuat demikian, diikuti dengan tepukan penonton.
Ketika Bawani sedang bercakap, Sharifah turun dari pentas dan berdiri di depannya.
Bawani tidak mempedulikan tindakan Sharifah itu dan meneruskan hujahnya.
Sharifah kemudian berkata ‘dengar’ kira-kira 10 kali sebelum bertindak mengambil mikrofon.
“Nombor satu, ini adalah program kami dan kami dibenarkan untuk bercakap. Nombor dua, apabila saya bercakap, (anda) dengar,” kata Sharifah kepada Bawani berulang kali.
Solidariti Mahasiswa Malaysia (SMM) jengkel terhadap aksi yang disifatkan kurang matang, tidak profesional, dan tidak cerdik Syarifah itu.
“Tindakan tersebut boleh dianggap sebagai biadap, mengelirukan, serta memperbodohkan mahasiswa yang turut ikut serta. Seorang pengampu dan penyamar seperti moderator tersebut ternyata tidak sesuai dan tidak layak menjadi pengemudi majlis ilmu seperti itu,” kata aktivis mahasiswa merangkap Bendahari SMM, Adam Adli Abd Halim.
“Tahniah kepada Bawani yang berani. Semoga keberanian beliau menjadi contoh dan pedoman kepada golongan mahasiswa lain,” katanya.