Sunday, January 6, 2013

Kuasai media amalan negara diktator


Kuasai media amalan negara diktator
Sekatan maklumat dan penguasaan terhadap media arus perdana adalah amalan negara diktator, kata bekas Menteri Penerangan, Tan Sri Kadir Sheikh Fadzir.
Beliau berkata, negara demokrasi seharusnya mengamal kebebasan, sebaliknya berlaku di negara ini apabila media dikawal sepenuhnya Umno- BN.
Beliau merujuk  isu Amanat Haji Hadi yang dimanipulasi hampir sebulan di akhbar dan televisyen tanpa memberi ruang kepada Presiden Pas itu memberi penjelasan.
“Bila (Haji Hadi) nak jawab, minta sejam pun tak nak bagi, nak tapis. Mana boleh tapis. Nama sahaja demokrasi, tapi diktator!,”  tegas Kadir pada ceramah Jelajah Anak Muda ke Himpunan #KL112 di padang Flat PPR Kempas, Johor malam tadi.

“Kalau kita tengok TV sekarang, ia telah jadi alat propaganda paling rendah yang memperbodoh dan menghina rakyat Malaysia,” katanya .
Beliau berkata, tidak cukup dengan itu, akhbar milik parti dalam Pakatan Rakyat turut dikawal apabila  ia dihadkan kepada ahli sahaja.
Kadir, antara menteri dalam kerajaan yang pernah menganjurkan program ‘Debat Perdana di RTM pada 2004 hingga 2006. Program tersebut menghimpunkan ahli parlimen berdebat selama sejam dan disiar secara langsung di seluruh negara.
Menurut Kadir, jabatan-jabatan kerajaan perlu bersikap neutral tanpa mempergunakan jentera untuk berkempen bagi sebelah pihak.
“Tapi kita tengok sekarang, semua diperguna, Kemas (Jabatan Kemajuan Masyarakat), Felda, Felcra, Jasa, JPM, cawangan khas, unit ATM, semuanya,” tegas Kadir.
Justeru beliau memberi komitmen untuk bersama sejuta rakyat dalam Himpunan Kebangkitan Rakyat di Stadium Merdeka 12 Januari depan.
“Kita kena selamarkan negara kita. Kita kena ingat kembali perjuangan bapa-bapa kemerdekaan kita. Maka, saya sendiri akan turut bersama saudara semua di Himpunan Kebangkitan Rakyat,” kata Kadir disambut laungan takbir hadirin.