Thursday, January 24, 2013

Malai Rock Station Bistro: Selepas Ipoh, Awie Bakal Buka Tiga Lagi Kelab Malam


Malai Rock Station Bistro: Ipoh, Awie Bakal Buka di Kuala Lumpur, Johor dan Kuantan, Pahang
Malai Rock Station Bistro, Ipoh
Takkan saya hendak jual nasi lemak yang saya tidak tahu caranya - Awie.
Ketika tindakan penyanyi dan pelakon Awie membuka kelab malam di Ipoh, Perak dipertikaikan segelintir pihak, vokalis kumpulan Wings itu sebenarnya sudah merancang untuk memperluaskan lagi perniagaannya dengan membuka tiga lagi cawangan baharu.
Awie atau nama sebenarnya Ahmad Azhar Othman, 45, berkata, dia tidak akan mengendahkan kritikan orang sebaliknya mahu mengembangkan kelab malam berkenaan yang dikenali sebagai Malai Rock Station Bistro masing-masing di Kuala Lumpur, Johor dan Kuantan, Pahang tidak lama lagi.
“Jangan melihat perniagaan kelab itu daripada pandangan yang cetek. Ia adalah sebuah perniagaan dan saya telah melabur ratusan ribu untuknya.
“Malah saya juga merancang untuk kembangkan lagi perniagaan itu pada tahun ini selepas mendapat respons baik daripada pengunjung di Ipoh,” katanya.

Malai Rock Station Bistro: Ipoh, Awie Bakal Buka di Kuala Lumpur, Johor dan Kuantan, Pahang
Awie menegaskan, masyarakat seharusnya berfikiran terbuka dan tidak mudah menjatuhkan hukum hanya kerana dia berstatus selebriti.
“Saya bergiat dalam bidang hiburan dan tidak tahu cabang perniagaan lain melainkan cabang ini sahaja (membuka kelab malam). Takkan saya hendak jual nasi lemak yang saya tidak tahu caranya?
“Jadi apa salahnya saya jalankan perniagaan berasaskan hiburan? Jangan persoalkan mengenai hukum hakam hanya kerana saya seorang artis?” jelasnya dalam nada kesal.
Tambahnya, perniagaan pusat hiburan bukanlah sesuatu yang baharu dan sudah ramai ahli perniagaan Melayu lain turut menjalankan perniagaan berasaskan hiburan seperti itu.
“Teruk sangat ke buka kelab malam? Apabila saya yang buka, semua mempertikaikan saya? Sedangkan benda ini bukannya baharu.
“Di luar sana, lebih ramai orang Melayu yang berniaga kelab, hotel dan pusat hiburan lain tetapi kenapa tidak dipertikaikan?
“Saya hanya berniaga bagi meneruskan kelangsungan hidup dan mencari rezeki untuk diri dan keluarga, apakah itu salah?” soalnya yang berharap isu ini tidak diperbesarkan lagi.