Saturday, January 5, 2013

Mesyuarat tergempar Parlimen untuk bersih nama Najib


najib rosmah altantuya Deepak musa hasan
Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dicabar mengadakan mesyuarat tergempar Parlimen bagi membersihkan dirinya daripada semua dakwaan serius yang berlegar di sekelilingnya yang timbul daripada perkembangan sejak dua bulan lalu.

Ketua Parlimen DAP, Lim Kit Siang, berkata ini kerana sudah hampir sebulan negara dikejutkan dengan satu demi satu pendedahan mengenai kes pembunuhan wanita warga Mongolia, Altantuya Shaariibuu membabitkan akuan bersumpah kedua penyiasat persendirian, P Balasubramaniam dan dakwaan serius ahli perniagaan, Deepak Jaikishan terhadap Najib dan keluarganya.

“Sekarang ini yang menjadi tanda tanya rakyat Malaysia sama ada kebenaran mengenai kes pembunuhan misteri Altantuya menggunakan C4 yang didakwa membabitkan Najib dan isterinya, Rosmah Mansor hanya akan terjawab jika berlaku pertukaran kerajaan di Putrajaya pada Pilihan Raya Umum ke-13 nanti.

“Najib sendiri sepatutnya menjawab dakwaan Deepak itu kerana Menteri Pertahanan, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi sebelum ini gagal mengotakan janji untuk menjawab semua dakwaan itu terhadap Najib ketika penggulungan pada Perhimpunan Agung UMNO ke-66 lalu,” katanya dalam satu kenyataan sempena perhitungan detik 97 hari PRU-13.

Kit Siang yang juga Ahli Parlimen Ipoh Timur berkata, Deepak juga mendakwa Najib ketika menjadi Menteri Pertahanan telah campur tangan dalam urusan mendapatkan projek Kementerian Pertahanan RM100 juta pada 2005 membabitkan syarikat Ketua Wanita UMNO Selangor dan memaksa Balasubraniam membuat akuan bersumpah kedua pada 2008 selepas menarik balik akuan bersumpah sebelumnya.

Beliau berkata, sehingga kini Najib masih membisu mengenai dakwaan Deepak sehingga mengurangkan nilai dan  kewibawaan kebanyakkan pengumuman perubahan dan transformasi, termasuklah permintaan maafnya mewakili kepimpinan UMNO ketika ucapan dasar Presiden UMNO untuk sebarang ‘kekhilafan” yang dilakukan UMNO. – Roketkini