Thursday, January 24, 2013

Obama mula penggal kedua dengan pelbagai cabaran baru


Presiden Amerika Syarikat, Barack Obama
WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat, Barack Obama, menghadapi pelbagai cabaran baru, sedang beliau memulakan hari kerja pertama dalam penggal keduanya, semalam.
Beliau sebelum ini telah mendedahkan agenda liberal bercita-cita tinggi dalam ucapan sulungnya semasa majlis perasmian penggal keduanya kelmarin.
Dalam ucapannya yang penuh perasaan itu, Barack Obama menyeru agar Amerika menjadi negara yang lebih inklusif dan menolak dendam antara parti, menerima pembaharuan dasar imigresen dan hak golongan homoseksual.
Beliau juga berikrar akan menangani masalah perubahan iklim, selain melindungi jaringan keselamatan sosial negara itu.
Walaupun jangkaan tidak begitu tinggi akibat keadaan ekonomi yang masih lemah dan politik Washington yang berpecah belah, Barack Obama mendedahkan beberapa keutamaan yang ingin beliau laksanakan.

Pada dasarnya, ucapan Barack Obama itu merupakan pengesahan semula perjuangan utama pihak Demokratik Liberal.
Dengan rambut yang lebih putih setelah empat tahun menjadi presiden, Barack Obama menggesa agar dihentikan sikap menyokong kuat sesuatu parti, dengan perbalahan teruk antara pihak Demokrat dengan Republikan tentang isu ekonomi yang mencemari kebanyakan penggal pertamanya di Rumah Putih.
Beliau menuntut kesederhanaan daripada mereka yang sebelum ini tidak mahu bertolak ansur.
Keengganan golongan tegar itu telah dua kali menyebabkan Amerika hampir menghadapi krisis kewangan.
"Kita tidak boleh silap menganggap faham kuasa mutlak sebagai prinsip, atau sikap menunjuk kuasa sebagai amalan politik atau menganggap kata-mengata sebagai perdebatan berdasarkan logik.
"Kita mesti bertindak, mengetahui bahawa kerja kita tidak sempurna," katanya.
Barack Obama, yang sering dikritik para penyokongnya kerana terlalu cepat bertolak ansur tetapi tidak menerima banyak konsesi daripada pihak Republikan, telah mempertahankan perbelanjaan bagi program sosial untuk golongan susah, mereka yang sakit dan warga tua.
Beliau menggalakkan pembaharuan imigresen, pengawalan senjata api dan perkahwinan.
Barack Obama juga, tanpa disangka, membuat seruan penuh perasaan agar tindakan diambil bagi menangani masalah perubahan iklim, isu yang tidak menjadi agenda utama dalam perdebatan politik Amerika sejauh ini.
Berucap di hadapan lebih sejuta penonton kelmarin, jauh lebih kecil daripada hampir dua juta hadirin semasa upacara perasmiannya pada 2009, Barack Obama turut bersemuka dengan para pesaingnya daripada golongan konservatif di Kongres.
Namun, Barack Obama dijangka terpaksa segera menghadapi tiga tempoh akhir fiskal yang memerlukan kerjasama Kongres, termasuk mengurangkan bebanan hutang, yang dijangka akan diundi anggota Dewan Perwakilan hari ini.
Kemenangan besar Barack Obama November lalu telah menginsafkan sedikit golongan Republikan, namun mereka masih berkeras menentang rancangan presiden Amerika itu mahu menaikkan kadar cukai terhadap golongan kaya dan melaburkan jumlah lebih besar untuk prasarana serta pendidikan. - AP, Reuters.