Tuesday, January 29, 2013

Pemimpin Hamas temu Presiden KEADILAN Khamis ini


Dua pemimpin Hamas dijadual akan bertemu Presiden KEADILAN, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail
PETALING JAYA 29 Jan: Dua pemimpin Hamas dijadual akan bertemu Presiden KEADILAN, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail di pejabatnya di sini Khamis ini.
Pemimpin berkenaan adalah Ahli Kabinet Hamas, Walid Amudi dan salah seorang pengasas Hamas, Dr Aziz Rantisi.
“Khamis ini saya akan bertemu wakil Hamas. Mereka kata nak buat kunjungan hormat. Datang mengucapkan ‘hello’ sebab mereka tahu kita (KEADILAN) punya hubungan baik (dengan Hamas),” kata Wan Azizah ketika ditemui di pejabat beliau, hari ini.
Isteri Ketua Umum KEADILAN itu turut menyatakan harapan dan sokongan terhadap perjuangan umat Islam di Gaza, Palestin.

“Kita beri sokongan semampu yang boleh. Tak kira dalam apa jua yang memberi kebebasan kepada Gaza. Dengan harapan rakyat tak perlu ditindas lagi, dan Gaza sendiri tidak berpecah,” kata beliau.
Umat Islam di Palestin mengalami kezaliman Zionis Yahudi sejak lebih 70 tahun lalu dengan pelbagai cabaran.
Sebelum ini, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan, Pakatan Rakyat mengiktiraf kerajaan Palestin pimpinan Mahmoud Abbas dan mengiktiraf aspirasi rakyat Palestin di Gaza yang memilih secara demokratik Ismail Haniyeh sebagai Perdana Menteri.
Katanya, Pakatan juga secara konsisten termasuk pada sidang Parlimen Disember 2012, mengutuk keengganan kerajaan Malaysia mengiktiraf Hamas.
Ketua Penerangan KEADILAN, Muhd Nur Manuty menyifatkan lawatan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak ke Gaza 22 Januari lalu semata-mata mahu meraih undi orang Melayu-Islam pada Pilihan Raya Umum ke 13.
“Ia sekadar memberi bayangan memberi kononnya Umno bersama Palestin sedangkan selama ini mereka pasif berhubung isu Hamas.
“Najib selama ini tidak pernah mengiktiraf Hamas. Sejak zaman Mahathir Mohamad, Umno tidak mengiktiraf Hamas. Buktinya pemimpin Hamas dihalang masuk ke Persidangan Negara-negra Berkecuali (NAM) pada 2006,” katanya.
Dalam kunjungan itu, Najib bertemu Ismail Haniyeh dan menawarkan bantuan dalam usaha perdamaian antara Hamas dan Fatah.