Wednesday, January 9, 2013

Pengunjung wanita ke zoo Dubai dipinta berpakaian sopan dan tutup aurat


DUBAI: Wanita yang melawat zoo di bandar raya ini diminta supaya berpakaian sopan, menutup aurat dan, jika perlu, disediakan skarf bagi melindungi bahu mereka.
Papan tanda di pintu masuk memberitahu pelawat apa yang boleh diterima dan tidak, dengan lutut dan bahu perlu ditutup.
Jika pelawat tidak berpakaian sopan, skarf disediakan oleh pihak pengurusan zoo bagi menutup bahu.
Namun, jika kod berpakaian itu tidak diendahkan, pelawat tidak akan dibenarkan memasuki zoo itu.

Pengarah Jabatan Taman Awam dan Hortikultur, Encik Ahmad Abdul Karim, berkata tindakan itu dibuat sebagai penegasan semula peraturan sedia ada daripada peraturan baru dilaksanakan.
"Kami sedar ramai pengunjung zoo datang terus dari pantai dan memasuki zoo dengan pakaian mandi. Ini tidak adil. Ramai kanak-kanak melawat zoo dan paling utama, ini negara Islam. Orang ramai perlu berpakaian sopan ke zoo," katanya.
Encik Ahmad berkata kod berpakaian memerlukan orang ramai memakai pakaian sopan di tempat awam di Dubai, dan taman haiwan Dubai merupakan salah satu daripadanya.
"Namun, kami menerima banyak aduan daripada pelawat mengenai pakaian sebahagian pengunjung lain, dan kami mahu mengelakkan rungutan itu dengan cara lebih baik dengan meminta orang ramai berpakaian sopan," katanya.
Kod berpakaian juga dikenakan di taman di pantai, bangunan dan pusat beli-belah. Peraturan itu menjadi tajuk perbahasan kerana ia tidak selalunya dipatuhi pelawat. - Agensi.