Monday, January 28, 2013

Ribuan berarak tuntut undang-undang lebih ketat kawal senjata api


Ribuan berarak tuntut undang-undang lebih ketat kawal senjata api
BERARAK MAHUKAN SENJATA DIKAWAL: Para penyokong langkah mengetatkan undang-undang kawalan senjata api, termasuk mereka yang terselamat dalam beberapa kejadian penembakan, berarak di Washington DC, semalam. -- Foto AFP

WASHINGTON: Ribuan orang berarak di Washington semalam untuk menggesa diadakan undang-undang mengawal senjata api yang lebih ketat dalam satu perhimpunan.
Ia dilakukan enam minggu selepas kejadian pembunuhan beramai-ramai para pelajar di sebuah sekolah Connecticut yang menggemparkan Amerika Syarikat.
Para pembantah itu, yang disokong beberapa pegawai kanan Amerika, berarak dalam keadaan senyap sekitar 30 minit di sepanjang National Mall, dekat kawasan Capitol Amerika dan Tugu Peringatan Washington, sambil membawa pelekat-pelekat putih yang menandakan nama-nama dan gambar-gambar mangsa beberapa kejadian tembakan.
Demonstrasi itu diadakan selepas insiden penembakan bulan lalu di Sekolah Sandy Hook Elementary di Newtown, Connecticut, yang menyebabkan 20 kanak-kanak antara enam dengan tujuh tahun dan enam orang dewasa terbunuh.
Ia telah mencetuskan satu perdebatan hebat di seluruh Amerika mengenai pemilikan senjata api.

Penembak dalam insiden itu telah menggunakan senjata api serangan ala tentera dan beberapa pucuki pistol.
"Tak perlu lagi bercakap. Yang penting kita mesti bertindak, kita mesti bertindak, kita mesti bertindak," tegas Setiausaha Pendidikan Amerika, Encik Arne Duncan, sambil memberitahu para peserta perhimpunan bahawa apabila beliau mengetuai satu rangkaian sekolah-sekolah di Chicago dari 1990 hingga 2000, seorang kanak-kanak dikebumikan setiap dua minggu akibat keganasan senjata api.
"Ini harus diubah. Anak-anak kita, keluarga kita, masyarakat kita, negara kita layak menerima lebih baik daripada itu," kata beliau, disambut dengan tepukan gemuruh.
Amerika mempunyai sekitar 270 juta seata api - hampir setiap satu senjata bagi setiap lelaki, wanita dan kanak-kanak - dengan lebih 32,000 orang mati ditembak pada 2011 sahaja.
Antara pembantah itu termasuk beberapa rakan dan saudara-mara mangsa-mangsa insiden penembakan di Newtown.
Mayor Washington, Encik Vincent Gray, yang menyokong kawalan lebih ketat bagi senjata api, menggesa agar diadakan tindakan untuk memastikan keselamatan ramai.
"Kita perlu pastikan orang-orang yang tidak bertanggungjawab dan tidak rasional yang masih pergi ke seluruh bandar dan wilayah kita serta mempunyai akses kepada senjata api dengan cara yang tidak sepatutnya".
Encik Duncan pula berikrar bahawa pentadbiran Presiden Barack Obama "akan berbuat segalanya dalam kuasa kami bagi memastikan bahawa kami meluluskan undang-undang yang membolehkan anak-anak kita, keluarga kita, masyarakat kita selamat". -AFP.