Monday, February 18, 2013

Asteroid 45 meter lintasi bumi, hanya 27,000 kilometer di atas Indonesia


Asteroid 45 meter lintasi bumi
asteroid 2012 da14 indonesia
BOSTON: Sebuah asteroid berukuran lebar 45 meter, atau bersaiz hampir setengah padang bola sepak, telah berlalu melepasi bumi semalam.
Ia berlaku selang beberapa jam selepas sebuah meteorit melanda Russia, menyebabkan lebih 1,000 penduduknya cedera, kata satu kenyataan Pentadbiran Penerbangan dan Angkasa Lepas Kebangsaan (Nasa) Amerika Syarikat.
Asteroid 2012 DA14 sudah berlalu melewati bumi.
Ia berlalu dalam kawasan antara lingkaran orbit satelit-satelit kaji cuaca dan perhubungan dengan bumi.
"Asteroid itu berlalu dengan selamatnya melewati planet kita 17,200 batu ((kira-kira 27,680 kilometer) di atas Indonesia," kata kenyataan Nasa itu yang disiarkan dalam laman webnya.
Secara kebetulan sebuah meteor terdahulu meletup di ruang angkasa wilayah Pergunungan Ural, Russia, selang beberapa jam sebelum asteroid berkenaan melepasi bumi.

Para ahli sains seluruh dunia dan Nasa dengan tegas mengatakan bahawa kejadian meteor itu tidak ada kaitan apa-apa dengan asteroid berkenaan kerana mereka kelihatan bergerak ke arah haluan bertentangan.
Sebuah asteroid pula adalah objek yang lebih besar.
Ia turut menggembirakan para ahli astronomi di Australia dan negara lain yang memerhatikannya berlalu dengan selamatnya di ruang langit malam yang cerah.
"Ia sedang bergerak keluar," lapor Encik Paul Chodas daripada program Objek Dekat Bumi Nasa di Makmal Perejanan Jet di California.
Asteroid 2012 DA14 berada dekat dengan bumi berbanding dengan satelit-satelit kaji cuaca dan perhubungan yang mengelilingi bumi pada jarak 35,887 kilometer dari permukaannya.
Para saintis berkata satelit-satelit tersebut juga terselamat.
Asteroid berkenaan, bagaimanapun, terlalu kecil untuk dilihat dengan mata kasar walaupun pada saat ia berada paling dekat dengan bumi pagi semalam di atas kawasan Lautan Hindi, dekat Sumatera.
Lokasi terbaik untuk melihat asteroid itu ialah dengan menggunakan teropong dan teleskop di beberapa negara Asia, bahagian timur Eropah dan Australia.
Namun, apa yang dapat dilihat oleh orang ramai di kawasan-kawasan itu adalah cahaya kecil yang meluncur di ruang langit pada kelajuan 28,000 kilometer sejam.
Asteroid 2012 DA14 adalah kecil berbanding dengan asteroid yang pernah menghapuskan dinosaur-dinosaur sekitar 65 juta tahun lalu yang dianggarkan selebar 9.7 kilometer.
Namun, batu angkasa lepas itu masih mampu menyebabkan kerosakan besar jika ia terjatuh ke bumi kerana ia seberat 143,000 tan dan mampu mengeluarkan tenaga sekuat 2.4 juta tan (bersamaan letupan TNT) dan memusnahkan kawasan seluas 1,942 kilometer persegi. - Agensi.
Asteroid 45 meter lintasi bumi, hanya 27,000 kilometer di atas Indonesia