Sunday, February 17, 2013

Bekas paderi didakwa bunuh dua isteri


paderi Kristian Methodist Arthur Schirmer
Arthur Schirmer
STROUDSBURG (Pennsylvania): Bekas paderi Kristian Methodist yang didakwa memukul isteri keduanya hingga mati pada 2008, kini menghadapi perbicaraan sama ada dia pernah membunuh isteri pertamanya juga.
Arthur Schirmer pada Selasa lalu dituduh membunuh dan memalsukan bukti selepas para juri memutuskan dia memukul Cik Betty Schirmer di bahagian kepala wanita itu dengan tuil besi, kemudian memasukkan wanita itu ke dalam kereta PT Cruiser dan sengaja mendalangi satu nahas jalan raya dalam usaha menutupi jenayahnya.
Bekas pendakwah Kristian berusia 64 tahun itu berdiam diri sahaja selama 90 minit, sedang para juri menyampaikan keputusan mereka selepas meneliti kes itu.
Dia tidak berkata sesuatu pun semasa dibawa keluar dari mahkamah dengan tangan bergari.

Pendakwaan lelaki yang disifatkan oleh pihak pendakwa, Encik Michael Mancuso, sebagai "paderi mencurigakan" itu menyebabkan beberapa anggota keluarga Cik Betty, 56 tahun, mengalirkan air mata gembira.
Pihak pendakwaan berkata Schirmer menyerang isteri keduanya itu pada 15 Julai 2008.
"Hari ini (semalam), dia akhirnya dapat berehat dengan tenang," kata anak lelaki Cik Betty, Encik Nate Novack, yang mengucapkan terima kasih kepada pihak pendakwaan kerana "membawa pembunuh ibu saya ke pengadilan".
Schirmer tetap mengaku tidak bersalah dan berikrar untuk membuat rayuan.
Peguam bela, Encik Brandon Reish, dalam hujah penutupnya mendesak bahawa sedang klien beliau memperdayakan Cik Betty dan bermain kayu tiga, dia tidak mempunyai motif untuk membunuhnya.
Schirmer didakwa secara berasingan berhubung kematian isteri pertamanya, Cik Jewel Schirmer, pada 1999 dan sedang menunggu dibicarakan di Lebanon County. - AP.