Thursday, February 21, 2013

Benarkah Melayu akan hilang kuasa tanpa UMNO?


Benarkah Melayu akan hilang kuasa tanpa UMNO?
Atas permintaan ramai, portal berita dan maklumat Bahasa Malaysia Parti Tindakan Demokratik (DAP), Roketkini.com sekali lagi akan menganjurkan wacana ilmiah bertajuk ‘Benarkah Melayu akan hilang kuasa tanpa UMNO?’ yang akan diadakan di Batu Pahat, Johor.

Wacana yang akan diadakan di Hotel Crystal Inn, Batu Pahat, pada Jumaat, 22 Februari ini mulai jam 8 malam itu dijangkakan hangat dengan pelbagai isu dan kemusykilan yang bakal terjawab.

Ketua Pengarang Roketkini.com, Wan Hamidi Hamid berkata, wacana kali kedua diadakan di negeri itu membuktikan Johor bukan lagi negeri ‘taboo’ bagi Pakatan Rakyat (PR).

“Kita bangga kerana masyarakat Johor semakin terbuka untuk mendengar penjelasan dan pendapat selain daripada media arus perdana.

“Bagi saya ia satu perkembangan yang positif dan secara langsung menunjukkan rakyat Johor mahukan perubahan,” katanya dalam satu kenyataan.

Wacana kali kedua ini membariskan beberapa panelis iaitu Ketua Pemuda DAP Johor, Tan Hong Pin, Ketua Biro Pakatan Rakyat Pemuda DAP Kebangsaan, Mazir Ibrahim dan bekas pimpinan UMNO Bahagian Pekan, Datuk Mohd Arif Sabri Aziz (Sakmongkol AK47).

Orang ramai dijemput hadir bagi memeriahkan program ilmiah itu dan masuk adalah percuma.