Friday, February 22, 2013

Ceraikan isteri 4 hari selepas nikah atas alasan bukan dara


ACENG: Dipecat kerana ceraikan isteri atas alasan bukan dara
ACENG: Dipecat kerana ceraikan isteri atas alasan bukan dara. - Foto AFP

JAKARTA: Presiden Indonesia, Susilo Bambang Yudhoyono, kelmarin memecat seorang pegawai daerah yang menceraikan isteri keduanya hanya empat hari setelah mereka bernikah menerusi khidmat pesanan ringkas (SMS).
Sebelum ini, beratus-ratus pelajar dan aktivis hak asasi Indonesia mengadakan tunjuk perasaan mendesak peletakan jawatan Pegawai Daerah Garut, Encik Aceng Fikri, 41 tahun.
Encik Aceng, 40 tahun, menceraikan Cik Fani Oktora, yang berusia 17 tahun pada Julai tahun lalu, dengan menuduh beliau bukan seorang dara.
Perkahwinan mereka menelan belanja AS$26,000 ($32,200).
Siasatan parlimen daerah ke atas Encik Aceng mendapati beliau telah melanggar pelbagai undang-undang dalam perkahwinannya.
Ia kemudian menyarankan Encik Aceng dipecat dan keputusan itu disahkan oleh Mahkamah Agung bulan lalu.

"Presiden telah menandatangani surat pemecatan ke atas Encik Aceng semalam (kelmarin)," kata Menteri Dalam Negeri, Encik Gamawan Fauzi.
Encik Gamawan akan menyerahkan surat itu kepada gabenor Jawa Barat agar Encik Aceng dapat dilucutkan jawatannya.
Awal dari itu, salah seorang peguam Encik Aceng, Encik Eggi Sudjana, berkata hukuman yang dikenakan ke atas kliennya terlalu berat.
"Saya perlu akur dari sudut etika tindakannya salah tetapi kesalahan etika tidak sepatutnya dikenakan hukuman, kecuali tindakan sosial seperti dicaci atau dihina," katanya.
Sebelum ini, Encik Aceng menolak gesaan agar beliau meletak jawatan sambil berkata beliau dilantik secara demokratik.
Beliau juga mendakwa pihak berkuasa cuba menafikan lelaki Islam sepertinya boleh berkahwin lebih daripada satu.
Di bawah undang-undang Indonesia, seseorang itu boleh dihukum penjara jika berkahwin lagi tanpa kebenaran isteri pertama. - Agensi.